A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Kecergasan & Anda
  6. /
  7. Petua Memilih Pusat Jagaan...

Petua Memilih Pusat Jagaan Orang Tua

Kebanyakan penjaga tidak mahu menempatkan waris mereka di sebuah pusat jagaan orang tua. Walau bagaimanapun, terdapat situasi-situasi tertentu di mana mereka terpaksa berbuat demikian

Kebanyakan penjaga tidak mahu menempatkan waris mereka di sebuah pusat jagaan orang tua. Walau bagaimanapun, terdapat situasi-situasi tertentu di mana mereka terpaksa berbuat demikian. Antara sebab-sebab ini termasuk :

  1. Tidak mampu untuk menjaga pesakit sebaik yang mungkin (tidak mempunyai masa yang diperlukan secukupnya untuk penjagaan).
  2. Penjaga terlalu letih atau ‘penat’ daripada penjagaan pesakit (carer burnout.)
  3. Penjagaan yang lebih khusus diperlukan (cth: penjagaan luka yang bermasalah).

Penjagaan di pusat jagaan boleh dibahagikan kepada jagaan jangka masa pendek, pertengahan atau tetap.

Jenis Fasiliti Pusat Jagaan

Di Malaysia, secara kasarnya, fasiliti ini dapat dibahagikan kepada 3 jenis :

  1. Penjagaan jenis jangka panjang atau tetap.
  2. Penjagaan masa pendek, contohnya pesakit selepas pembedahan atau strok yang memerlukan rehabilitasi jangka pendek.
  3. Penjagaan pusat rawatan harian- Penyeliaan pesakit dilakukan di pusat rawatan pada waktu pagi dan petang tetapi pulang ke rumah dan dijaga oleh ahli keluarga pada waktu malam.

Fasiliti-fasiliti ini boleh disediakan oleh pihak kerajaan, NGO atau swasta. Walaubagaimanapun, kebanyakan fasiliti yang wujud sekarang adalah jenis pusat penjagaan jangka panjang. Ada di antara fasiliti ini yang mempunyai staf yang terdiri daripada jururawat terlatih, manakala yang selebihnya mempunyai staf yang tidak mempunyai latar belakang latihan perubatan. Kadang-kala, terdapat juga fasiliti yang mempunyai perkhidmatan doktor atau juru terapi.

Pada masa ini, terdapat undang-undang secara khas untuk mengawal cara kerja atau pengendalian pusat-pusat jagaan ini di Malaysia. Walaubagaimanapun masih terdapat banyak perbezaan daripada segi kualiti penjagaan dan perkhidmatan pusat-pusat ini. Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk para penjaga membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum memilih pusat jagaan ini. Secara amnya, petunjuk-petunjuk ini termasuk :

Menentukan Jenis Rawatan Yang Diperlukan

Pesakit yang hanya memerlukan bantuan untuk aktiviti asas harian (contohnya mandi, makan dan ke tandas) secara amnya memerlukan jagaan yang tidak berunsurkan perubatan. Ia dapat disediakan oleh anggota yang tidak semestinya mempunyai latihan perubatan khas seperti jururawat. Contoh pesakit ini termasuk mereka yang terlantar ekoran strok ketara atau mempunyai masalah perubatan melarat. Doktor anda merupakan orang yang terbaik untuk menasihatkan anda tentang jenis rawatan yang mungkin diperlukan. Oleh itu, anda perlu mendapatkan nasihatnya semasa membuat keputusan ini.

Pesakit yang memerlukan perkhidmatan rehabilitasi dan perubatan khas mungkin akan mendapat manfaat daripada jagaan jangka masa sederhana. Pusat yang mempunyai khidmat juru pulih dan jururawat terlatih adalah penting. Pesakit ini dijangka hanya akan memerlukan penjagaan jangka pendek atau sederhana dan akan dapat pulang ke rumah dan komuniti masing-masing selepas pulih kelak.

Jagaan jangka masa pendek juga diperlukan untuk penjaga yang mahu bercuti atau keluar negeri untuk sementara waktu iaitu pesakit akan dijaga semasa ketiadaan penjaga dan akan pulang ke rumah setelah penjaga mereka balik dari percutian.

Pesakit yang tinggal dengan penjaga yang masih bekerja juga boleh mendapat rawatan perubatan, rehabilitasi atau penjagaan secara harian dan balik ke rumah pada waktu malam. Ini dikenali sebagai pusat rawatan harian.

Kewangan

Perkhidmatan penjagaan mungkin memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, jenis fasiliti dan perkhidmatan yang anda pilih mungkin ditentukan oleh status kewangan anda. Pusat jagaan kerajaan atau NGO adalah lebih murah tetapi mungkin memerlukan lebih masa menunggu sebelum penempatan dapat dilakukan. Penjaga boleh memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau perbadanan keagamaan sekiranya menghadapi masalah kewangan.

Perkara-perkara untuk diberi perhatian

Anda seharusnya memilih fasiliti yang memberi perkhidmatan yang anda perlu, lokasi yang strategik (lawatan pesakit dapat dilakukan dengan senang dan kerap), mengikut bajet anda dan paling penting sekali, fasiliti yang masih ada ruang untuk menepatkan pesakit.

Selepas itu, anda seharusnya membuat lawatan ke fasiliti itu untuk meneliti :

  1. Perkhidmatan : Adakah fasiliti itu menyediakan skop perkhidmatan yang anda perlu, contohnya terapi rehabilitasi, kejururawatan, doktor dan lain-lain? Anda juga perlu bertanya tentang kos perkhidmatan ini kerana kebanyakan perkhidmatan ini adalah dicaj secara berasingan. Perkhidmatan menghantar pesakit ke hospital atau klinik untuk rawatan susulan juga penting dan sekiranya disediakan, akan memudahkan pesakit pergi untuk rawatan susulan ini.
  2. Staf : Anda perlu bertanya tentang bilangan staf yang bertugas dan kelayakan mereka. Seboleh-bolehnya nisbah pesakit kepada staf seharusnya tidak terlalu tinggi kerana ia boleh menjejaskan mutu perkhidmatan mereka. Anda boleh bertanya keluarga pesakit lain untuk mendapat gambaran yang lebih jelas.
  3. Persekitaran : Fasiliti itu perlu selesa dan tidak terlalu sesak dengan sistem pengudaraan yang baik. Tandas dan peralatan khas seperti kerusi roda, katil, lantai dan lampu juga perlu selamat untuk pesakit. Keselamatan fasiliti itu juga penting.
  4. Makanan dan Ubat-ubatan : Makanan yang disediakan perlu seimbang dan sesuai untuk pesakit (contohnya, makanan mudah kunyah untuk pesakit yang tidak ada gigi dan makanan cecair contohnya susu untuk mereka yang tidak dapat menelan). Anda juga perlu memberitahu staf fasiliti tentang jenis ubat-ubatan yang diperlukan oleh pesakit dan sebarang alahan yang mungkin pesakit ada.
  5. Kontrak : Anda perlu meneliti kontrak anda dengan fasiliti itu terlebih dahulu sebelum menandatanganinya. Dapatkan jawapan dan penerangan untuk sebarang kemuskyilan yang mungkin timbul.

Anda seharusnya meneliti beberapa buah fasiliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Ini untuk memastikan pesakit mendapat penjagaan yang terbaik.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. George Taye Wei Chun
Akreditor : Dr. Cheah Wee Kooi
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

Kebaikan Senaman

Meningkatkan kecergasan fizikal anda. Merperbaiki keseimbangan, koordinasi dan gaya jalan.

Di mana Boleh Saya Dapatkan Bantuan?

Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan program khas untuk warga emas semenjak dari tahun 1996. Matlamat program ini adalah untuk mencapai tahap kesihatan yang optima bagi warga emas melalui perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,634

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia