A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Asma

Apakah asma? Ia adalah penyakit paru-paru. Ia disebabkan oleh keradangan kronik saluran pernafasan.

Asma ialah penyakit kronik saluran udara dalam sistem pernafasan. Dalam bahasa atau dialek lain, ia dikenali sebagai lelah, semput dan penat dalam bahasa Melayu, dan ‘Chei Har’ dalam bahasa Cina. Walau bagaimanapun, penggunaan terma-terma ini turut digunakan bagi menggambarkan masalah pernafasan yang lain.

Bagaimana sistem pernafasan anda berfungsi?

Sistem pernafasan membawa masuk udara yang kaya dengan oksigen dan membawa keluar karbon dioksida. Saluran udara dalam sistem pernafasan adalah seperti tiub panjang. Ia bermula dari lubang hidung, ke pharynx, larinks dan ke trakea (atau lebih dikenali sebagai paip angin) dan akhirnya ke saluran pernafasan kecil di kedua-dua belah paru-paru. Saluran pernafasan yang lebih kecil dikenali sebagai bronkiol. Pertukaran gas berlaku pada bronkiol.

Dinding bahagian dalam tiub dibarisi oleh lapisan mukosa yang mempunyai rambut halus dipanggil silia. Ia juga mempunyai lapisan otot licin.

Apakah asma?

  • Ia adalah penyakit paru-paru.
  • Ia disebabkan oleh keradangan kronik saluran pernafasan.
  • Proses keradangan adalah sebahagian daripada sistem pertahanan (imun) badan kita. Ia berfungsi sebagai mekanisme pertahanan. Ia melindungi badan kita daripada penyebab kerengsaan setiap kali kita bernafas.
  • Penghidap asma mempunyai saluran udara yang sensitif kepada sesetengah bahan yang dihidu. Ini dipanggil hiperresponsif. Ia menyebabkan keradangan.
  • Keradangan menyebabkan lapisan mukosa membengkak, lebih banyak mukus dihasilkan untuk bertindak sebagai palam mukus dan otot mengecut yang dikenali sebagai bronkospasma. Ini menyebabkan lumen saluran pernafasan sempit dan sekaligus menyebabkan kesukaran bernafas.

Siapakah yang mendapat asma?

Anda berisiko menghidap asma jika :

  • Seseorang dalam keluarga anda menghidap asma (keturunan).
  • Anda mempunyai jangkitan dada yang teruk semasa kecil.
  • Ahli keluarga anda mempunyai reaksi alahan atopi (yang bermakna anda boleh mewarisi tindak balas hiper-responsif kepada alahan).
  • Terdedah kepada perengsa secara berterusan

Bagaimana untuk mengetahui anda menghidap asma?

Anda mungkin menghidap asma bronkial jika :

  • Episod batuk yang berulang dengan berdehit.
  • Sesak dada dan kesukaran bernafas secara tiba-tiba.
  • Keturunan anda menghidap asma atau alahan.
  • Anda mengalami gejala ini jika anda terdedah kepada perengsa atau keadaan tertentu.

Berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan pengesahan. Doktor akan meminta anda menyatakan sejarah serangan asma secara terperinci. Sebagai contoh, doktor akan membantu anda mengenal pasti apa yang mencetuskan serangan dan corak serangan asma. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh terutamanya paru-paru. Kadang-kala anda mungkin perlu menjalani ujian sinaran x (x-ray) atau ujian pernafasan.

Apa yang anda alami semasa serangan asma?

Apabila diserang asma anda akan mengalami :

  1. Batuk – Batuk adalah refleks biasa untuk membersihkan saluran yang tersumbat. Itulah sebabnya semasa serangan asma anda tidak digalakkan untuk mengambil ubat batuk melainkan dinasihatkan oleh doktor anda.
  2. Sukar bernafas atau sesak nafas – Saluran udara yang sempit menyebabkan anda mengalami kesukaran bernafas.
  3. Pernafasan berbunyi atau berdehit kerana anda bernafas melalui saluran udara yang sempit dan banyak lendir.
  4. Sesak dada.
  5. Orang di sekeliling anda akan perasan anda bekerja keras untuk bernafas. Hidung anda kelihatan merah, otot leher akan kelihatan dan ruang di antara tulang rusuk akan ditarik kerana anda bernafas.

Serangan asma yang teruk menyebabkan anda sukar bercakap. Dalam keadaan ini, anda perlu segera dapatkan rawatan doktor.

Adakah rawatan untuk asma?

Asma bronkial adalah penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes. Ini bermakna, jika anda disahkan menghidap asma, anda memerlukan rawatan sepanjang hayat. Ia tidak boleh dirawat. Berita baik! Anda boleh mengawal asma dan anda boleh menjalani hidup normal seperti orang lain.

Bagaimana mengawal asma?

  • Fahami masalah anda. Dapatkan nasihat doktor walaupun anda berjumpa doktor dengan ibu bapa anda. Libatkan diri anda dalam pengurusan penyakit asma anda.
  • Ketahui pencetus asma anda. Ketahui punca anda mendapat serangan asma seperti terdedah kepada asap rokok, cuaca sejuk atau panas yang melampau, tekanan, melakukan senaman berat atau makanan atau pewarna yang menyebabkan alahan.
  • Kerap berjumpa doktor. Bincang dengan doktor tentang masalah anda dan bentuk satu pelan tindakan asma bersama-sama.
  • Ketahui ubat anda. Ketahui apa, bila dan kekerapan mengambil ubat dan tujuan anda mengambil ubat tersebut.
  • Ambil ubat anda seperti yang dinasihati oleh doktor.

Apakah pencetus serangan asma?

Bagaimana untuk menghindari pencetus serangan asma?

Pencetus Apa yang boleh anda lakukan
Perengsa/Asap
  • Berhenti merokok
  • Minta ahli keluarga untuk berhenti merokok
  • Jangan benarkan orang lain untuk merokok di sekeliling anda, rumah dan dalam kereta anda walaupun anda tidak berada di dalamnya. Debu asap mungkin melekat pada perabot atau kerusi kereta. Menghidunya boleh mencetuskan serangan
  • Elakkan menggunakan bahan kimia yang berbau kuat
  • Elakkan berada di tempat yang berlakunya pembakaran terbuka
Alahan
  • Bulu haiwan : Pastikan haiwan peliharaan anda diletakkan di luar rumah
  • Hama : Gunakan penutup kalis habuk untuk bantal dan tilam, keluarkan permaidani dari rumah atau vakum secara berkala
  • Lipas : Gunakan racun serangga, simpan makanan dan sampah di dalam bekas tertutup
  • Acuan : Sentiasa menjaga kebersihan rumah Betulkan paip yang bocor. Gunakan alat penyahlembap udara.
  • Debunga : Elakkan menghidu bunga atau elakkan keluar pada musim bunga
Ubat-ubatan Kenal pasti ubat-ubatan yang menjadikan anda sensitif
Senaman Dapatkan nasihat doktor anda sebelum terlibat dalam sebarang aktiviti sukan yang berat
Jangkitan/refluks Dapatkan nasihat doktor untuk rawatan berkaitan jangkitan/refluks
Tekanan emosi Lakukan senaman bagi mengurangkan stress. Dapatkan rehat secukupnya

Ubat-ubatan untuk asma

Terbahagi kepada 2 bahagian :

  • Ubat pelega :
    • Berguna untuk melegakan gejala-gejala asma dan menghilangkan serangan sebelum ia menjadi teruk.
    • Ia harus digunakan semasa tanda awal serangan asma dikesan.
    • Tidak sesuai digunakan apabila serangan telah menjadi teruk kerana anda tidak dapat bernafas dengan betul dan penyelarasan sukar dilakukan.
    • Apabila digunakan dengan betul, ia akan melegakan gejala dengan cepat.
    • Ubat yang disarankan adalah agonis Beta2 atau Salbutamol yang dihidu.
    • Ia melegakan bronkospasma dengan merehatkan otot di saluran pernafasan.
    • Ini menyebabkan saluran pernafasan terbuka dan membolehkan udara mengalir dengan lebih baik dan gas dalam paru-paru bertukar dengan lebih baik.
    • Salbutamol juga boleh didapati dalam bentuk tablet. Namun, pengambilan secara oral boleh menyebabkan lebih banyak kesan sampingan seperti jantung berdebar, menggigil dan lain-lain.
  • Ubat pencegah atau kawalan jangka panjang.
    • Ubat ini menghalang keradangan dan menjadikan pernafasan anda lebih stabil dan kurang sensitif kepada perengsa.
    • Ubat-ubatan yang biasa digunakan adalah kortikosteroid (ICS) yang dihidu kerana ia adalah antiradang yang berkesan.
    • Walaupun ubat-ubatan ini adalah sejenis steroid, kesan sampingan daripada sedutan steroid adalah sangat minimum dan memberi lebih faedah berbanding risiko yang dihadapi.
    • Ubat-ubatan ini sangat berbeza daripada steroid yang diambil secara oral atau yang digunakan oleh atlet.
    • Dos ICS yang diambil menggunakan alat sedut (inhaler) adalah lebih kecil berbanding dos ICS yang diambil secara oral. Ia diangkut ke paru-paru secara langsung tanpa memasuki peredaran sistemik. Oleh itu, kesan sampingan dapat dikurangkan.
    • Namun, ubat ini tidak melegakan gejala akut. Ia mengambil masa sehingga 2 minggu untuk menunjukkan kesan. Oleh itu, pematuhan regim rawatan adalah sangat penting.
    • Ubat-ubatan kawalan jangka panjang lain yang boleh digunakan adalah :
      • Long-acting Beta 2 agonist yang dihidu
      • Natrium chromoglycate yang dihidu
      • Tablet Teofilin (neulin)
      • Tablet anti-leukotriene

Apakah alat sedut (inhaler)?

  • Inhaler adalah alat yang mengandungi ubat-ubatan yang diambil dengan cara bernafas ke dalam sejenis alat.
  • Terdapat banyak jenis inhaler dan anggota kesihatan akan mengajar anda cara untuk menggunakannya.
  • Ubat-ubatan dalam inhaler terdapat dalam bentuk aerosol atau serbuk kering.
  • Alat ini membolehkan ubat-ubatan dihantar terus ke paru-paru.
  • Walau bagaimanapun, ia perlu dilakukan dengan teknik dan penyelarasan betul.
  • Bagi sesetengah orang terutamanya kanak-kanak dan warga tua, corong amat berguna untuk memastikan ubat dapat dialirkan dengan baik.

Pelan tindakan asma

Pelan tindakan asma adalah perancangan bertulis yang dihasilkan bersama-sama dengan doktor anda tentang tindakan perlu dilakukan untuk mengawal asma semasa di rumah. Ini termasuklah :

  • Gejala yang perlu anda awasi.
  • Tindakan yang perlu dilakukan jika anda mengalami gejala-gejala tersebut.
  • Ubat-ubatan yang perlu digunakan beserta dos ulangan yang diperlukan.
  • Ketahui masa yang perlu untuk mendapatkan rawatan doktor.
  • Ketahui alamat dan nombor telefon yang perlu dihubungi untuk sebarang kecemasan.
  • Pencetus serangan asma pada diri anda dan cara untuk mengelakkan.

Saya mempunyai asma yang disebabkan oleh senaman. Adakah ini bermakna saya tidak perlu melakukan aktiviti fizikal atau terlibat dalam sukan?

Salah. Anda perlu melakukan aktiviti fizikal. Sebenarnya aktiviti fizikal atau senaman adalah baik untuk pesakit asma. Anda tidak perlu mengehadkan aktiviti anda jika anda menghidap asma. Sebaliknya anda perlu untuk mengawal asma dengan lebih lebih baik untuk membolehkan anda melakukan aktiviti harian. Walau bagaimanapun, elakkan melakukannya secara keterlaluan kerana aktiviti fizikal atau senaman boleh mencetuskan serangan asma. Dapatkan nasihat doktor tentang ubat pelega sebelum anda membuat keputusan untuk terlibat dalam sebarang senaman atau aktiviti fizikal.

Kenapa simptom asma masih tidak sembuh walaupun saya telah mengambil ubat?

Terdapat beberapa sebab : Jika gejala asma masih berterusan, dapatkan rawatan doktor. Antara punca asma masih tidak sembuh adalah :

  • Teknik penggunaan inhaler yang tidak betul.
  • Faktor pencetus serangan asma masih ada di sekitar anda.
  • Anda mungkin mengalami jangkitan pernafasan yang masih tidak sembuh.
  • Anda mungkin tidak menghidap asma. Anda perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan yang lebih lanjut.

Apa yang paling penting adalah menikmati tempoh remaja anda. Rebut semua peluang yang ada untuk berjaya. Terimalah hakikat bahawa anda seorang penghidap asma Anggaplah ia sebagai satu cabaran dan tanamkan sikap yang positif setiap masa. Ia hanya satu penyakit dan anda mampu mengawalnya!

Semakan Akhir : 28 Ogos 2021
Penulis : Dr. Salmah bt. Nordin
Penterjemah : Pn Noorhayati Kassim
Akreditor : Dr. Nik Rubiah bte. Nik Abdul Rashid
Penyemak : Dr. Nazhatussima bt. Suhaili

 

Artikel Berkaitan

Sakit Dada

Apakah punca sakit dada di kalangan remaja sihat? Gangguan saluran penghadaman, masalah muskuloskeletal, pneumothorax spontan, hyperventilation (pernafasan yang laju).

Pneumothorax

Pneumothorax adalah pengumpulan udara atau gas di bahagian rongga di antara paru-paru dan dinding dada disebabkan terdapatnya kebocoran di antara rangka dada dan paru-paru (ruang pleura) atau paru-paru itu sendiri. Ini akan menyebabkan paru-paru menjadi kecut

Fibroadenosis

Fibroadenosis (penyakit payudara Fibrocystic) adalah ketulan abnormal yang tidak merbahaya (benign) di payudara, menyebabkan payudara rasa berketul ketika diperiksa dan kadangkala boleh terasa sakit. Keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh perubahan hormon semasa remaja pertama kali datang haid (permulaan haid) dan wanita yang pra-menopaus.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,619,269

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia