Pengenalan
Psoriasis dianggarkan dihidapi oleh 2% populasi penduduk dunia. Di Malaysia, seramai 8,039 orang telah dilaporkan menghidapi penyakit ini. Psoriasis adalah sejenis penyakit kulit yang berpanjangan dan berulang. Psoriasis terjadi kerana gangguan sistem imun badan yang menyebabkan pertumbuhan sel-sel kulit lebih cepat iaitu 2 hingga 3 hari berbanding 21 hingga 28 hari dalam keadaan biasa. Proses ini menyebabkan sel-sel ini bergerak ke atas kulit dengan cepat yang menjadikan kulit muncul sebagai tompok-tompok merah dengan sisik-sisik ‘keperak-perakan’ yang tebal dipermukaan kulit. Selain daripada kulit tubuh dan anggota badan, penyakit ini juga boleh melibatkan kulit kepala dan kuku. Selain itu, saluran darah dibawah kulit juga menjadi lebih lebar lalu meningkatkan aliran darah. Peningkatan bekalan darah ini menjelaskan kehadiran tompok-tompok merah dan kulit mudah berdarah.
Biasanya psoriasis tidak menyebabkan masalah kesihatan yang buruk. Tetapi diantara dua puluh pesakit psoriasis, seorang mungkin mengalami masalah sendi seakan-akan penyakit sengal sendi. Jikalau psoriasis sudah tenat dan meliputi sebahagian luas kulit, masalah lain mungkin timbul. Psoriasis adalah penyakit kulit tidak berjangkit, Punca sebenar penyakit ini, tidak diketahui tetapi kombinasi genetik dan persekitaran dikaitkan dengan penyakit psoriasis. Adakalanya (tetapi tidak semestinya) penyakit itu dibawa turun-temurun. Faktor-faktor yang menerukkan keadaan psoriasis adalah trauma (kecederaan dan selaran matahari), jangkitan (streptococcal, HIV), ubat-ubatan (lithium, perencat ACE, perencat beta, antimalaria, NSAIDS), merokok, alkohol, dan tekanan emosi.
Jenis-Jenis Ubat Psoriasis
Pada masa ini tiada rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit psoriasis. Rawatan yang digunakan adalah untuk mengawal tanda-tanda psoriasis. Ubat-ubat yang digunakan dalam rawatan psoriasis diberikan bergantung pada jenis psoriasis dan masalah kesihatan lain yang dihidapi oleh pesakit. Kebanyakkan pesakit psoriasis dirawat menggunakan ubat topikal. Namun begitu, bagi psoriasis yang serius, rawatan ubat topikal diberikan bersama fototerapi atau rawatan sistemik. Ujian darah perlu dijalankan sebelum dan semasa rawatan sistemik dimulakan untuk memastikan fungsi hati, buah pinggang dan sel darah putih dalam keadaan baik. Jika kesemua rawatan yang tersebut diatas tidak menunjukkan respon yang baik, rawatan biologik digunakan. Kesemua rawatan mesti digunakan atas nasihat dan dibawah pengawasan doktor.
Ubat topikal
- Emolien (pelembap) melembutkan dan mengekalkan kelembapan kulit. Emolien sebaiknya disapu selepas mandi sementara air masih terperangkap pada kulit untuk mendapatkan lebih hidrasi. Emolien perlu disapu lembut mengikut arah garis rambut secara kerap sekurang-kurangnya 3 kali sehari mengikut arahan doktor. Jangan sesekali menggosok ke atas dan ke bawah dengan kuat kerana akan menyebabkan kegatalan, menyumbat folikel rambut atau menyebabkan kulit berasa panas. Kadangkala, pelembap (krim aqueous) digunakan seperti sabun untuk menggantikan penggunaan sabun mandi.
- Tar melambatkan pertumbuhan sel-sel kulit dan mengurangkan radang, gatal dan sisik-sisik psoriasis. Ia disapu bergantung kepada bahagian tubuh badan yang mengalami psoriasis. Misalnya syampu polytar dan Ung Cocois co digunakan untuk psoriasis kulit kepala manakala mandian coal tar 20% dan Liquid Picis Carbonis (LPC) digunakan untuk psoriasis tubuh badan.
- Syampu polytar digunakan 2 kali seminggu. Setelah rambut dan kulit kepala dibasahkan, syampu digosok pada kulit kepala dengan lembut selama 5 hingga 10 minit. Kemudian bilas dengan air kebelakang tanpa terkena muka. Elakkan menggaru kulit kepala kerana ia boleh menerukkan keadaan psoriasis. Penggunaan shampoo tar ini boleh menyebabkan kulit merengsa, merah, kering, meninggalkan kesan kotor dan bau tidak menyenangkan. Uji sediaan tar pada bahagian kecil kulit terlebih dahulu. Jika kulit menjadi merah, cuba sapu sediaan tar selepas menyapu pelembap. Kulit akan menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari, Oleh itu sediaan tar perlu dibilas bersih.
- Ung. Cocois co perlu disapu pada waktu malam dengan menyikat rambut kepada bahagian-bahagian kecil dan sapu ubat pada tompok-tompok psoriasis pada kulit kepala. Balut kulit kepala dengan tuala atau topi mandi. Lapikkan bantal kerana ubat boleh meninggalkan kesan kotor pada bantal. Biarkan semalaman dan bilas kulit kepala pada keesokan paginya.
- Mandian coal tar 20% digunakan dengan melarutkan 15 ml coal tar dalam 10 liter air. Larutan disapu pada kulit menggunakan span/tuala atau merendam bahagian psoriasis dalam larutan yang disediakan menggunakan tab mandi selama 15 hingga 20 minit.
- Liquid Picis Carbonis (LPC) disapu terus kepada plak psoriasis pada tubuh badan pada waktu malam.
- Analog Vitamin D3 yang biasa digunakan adalah calcipotriol (Daivonex) dan calcipotriol+betamethasone dipropionate (Daivobet). Ia melambatkan pertumbuhan sel-sel kulit, meratakan tompok-tompok dan menghilangkan sisik-sisik psoriasis. Daivonex disapu 2 kali sehari mengikut arahan doktor. Ia tidak boleh digunakan lebih daripada 15g sehari atau 100g seminggu. Kesan sampingan yang biasa berlaku adalah kerengsaan kulit, rasa menyengat dan terbakar. Kesan sampingan yang jarang berlaku adalah kulit kering, menggelupas, ruam dan dermatitis. Manakala, Daivobet disapu sekali sehari pada plak psoriasis tebal mengikut arahan doktor. Kesan sampingan yang biasa berlaku adalah gatal, ruam, kulit menipis dan terbakar. Kesan sampingan yang jarang berlaku ialah kulit menjadi merah, merengsa dan berubah warna, pembengkakan salur darah halus pada tempat sapuan dan keradangan folikel rambut.
- Dithranol (anthralin) digunakan untuk melambatkan pertumbuhan sel-sel kulit. Dithranol disapu menggunakan cotton bud pada bahagian kulit psoriasis yang dikehendaki, dibiarkan selama 30 minit dan kemudian dibilas dengan liquid paraffin. Pastikan memakai sarung tangan semasa mengendalikan dithranol.
- Keratolitik (salicylic acid) digunakan sebagai agen pengelupasan dengan cara melembutkan dan menanggalkan sisik-sisik psoriasis. Ia disapu 2 kali sehari bersama topikal steroid pada psoriasis kulit kepala. Kesan sampingan sediaan salicylic acid yang kuat boleh menyebabkan kulit merengsa jika dibiarkan pada kulit terlalu lama dan melemahkan helaian rambut, menjadikannya lebih mudah terputus dan menyebabkan keguguran rambut yang sementara.
- Steroid adalah rawatan utama psoriasis dan adalah berkesan untuk kebanyakan pesakit. Steroid mengurangkan keradangan serta mengurangkan kemerahan pada tompok-tompok psoriasis. Steroid mempunyai pelbagai kekuatan daripada sangat kuat (sangat poten) kepada sangat lemah (kurang poten). Tahap potensi steroid yang digunakan adalah mengikut jenis psoriasis, tahap keseriusan psoriasis, umur pesakit dan bahagian badan yang mengalami psoriasis. Steroid biasanya disapu sekali atau dua kali sehari mengikut arahan doktor. Steroid disapu nipis dengan menggosokkan krim, atau salap pada plak psoriasis. Basuh tangan selepas menggunakan steroid. Jika steroid diberikan untuk merawat kuku psoriasis, sapu steroid pada kulit disekeliling kuku cacat mengikut arahan doktor. Bila menggunakan dua rawatan, sapu pelembap dahulu. Kemudian menunggu 10-15 minit selepas menggunakan pelembap sebelum menggunakan steroid. Pelembap dibiarkan meresap sebelum steroid diaplikasikan.Jumlah steroid yang perlu digunakan adalah mengikut Finger Tip Unit. Satu fingertip unit (FTU) ialah dari bahagian jari paling hujung kepada ruas pertama pada jari tersebut. Satu FTU adalah mencukupi untuk keluasan dua permukaan tapak tangan. Perkara-perkara yang perlu diingatkan semasa menggunakan steroid adalah semakin poten ubat steroid, semakin berkesan ubat tersebut. Walau bagaimanapun, peningkatan risiko kesan sampingan juga meningkat. Steriod poten tinggi perlu digunakan secara berhati-hati dan tidak boleh digunakan di muka. Kesan sampingan steroid yang teruk adalah seperti kerosakan kulit (penipisan kulit, mudah lebam, striae (jalur) kulit yang kekal) atau jangkitan kulit (jerawat, jangkitan kulat). Jangan berhenti menggunakan ubat steroid secara mendadak kerana ini akan menyebabkan psoriasis menjadi teruk. Ubat steroid tidak boleh digunakan pada atau sekeliling mata kerana boleh menyebabkan katarak atau glaukoma (kecuali ubat steroid tersebut diformulasi untuk kegunaan bahagian mata). Kesan sampingan sistemik pada adrenal dan kerapuhan tulang bergantung pada potensi ubat, tempoh rawatan, keluasan dirawat dan bahagian badan yang disapu dengan steroid.
Rawatan sistemik
- Acitretin (retinoid) adalah analog sintetik vitamin A. Dos permulaan adalah 10mg hingga 30mg sehari mengikut arahan doktor. Ubat perlu diambil bersama dengan makanan. Ubat ini walaubagaimanapun mempunyai risiko teratogenik yang tinggi. Pencegahan kehamilan diperlukan 4 minggu sebelum rawatan, semasa tempoh rawatan dan sehingga 3 tahun selepas berhenti rawatan. Kesan sampingan ubat termasuklah bibir dan mulut kering, konjunktivitis dan hidung berdarah. Paras kolesterol juga perlu diperiksa sewaktu rawatan.
- Methotrexate (MTX) mengurangkan radang, kemerahan dan sisik dikulit serta membantu mengurangkan sakit sendi. Ubat ini diambil seminggu sekali dan diambil pada hari yang sama setiap minggu. Tablet asid folik diberikan bersama-sama untuk mengurangkan kesan sampingan MTX. Asid folik tidak boleh diambil pada hari yang sama dengan MTX. MTX mengambil masa 3-12 minggu sebelum kesan ubat dapat dilihat. Kesan sampingan ubat adalah mengurangkan sel darah putih dan menganggu fungsi hati atau buah pinggang. Pesakit perlu menunggu sekurang-kurangnya 6 bulan selepas berhenti makan ubat sebelum merancang untuk hamil.
- Ciclosporin adalah ubat yang mengawal psoriasis dalam jangka masa yang singkat diikuti dengan rawatan ubat yang lain. Kontraindikasi ubat adalah kerosakan hati, kerosakan buah pinggang dan kelemahan pertahanan badan. Ubat tidak boleh diberi bersama ubat yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang seperti NSAIDs dan aminoglycosides.
Rawatan Biologik
Rawatan biologik adalah seperti Adalimumab Etanercept, Infliximab atau Ustekinumab. Rawatan biologik hanya digunakan apabila kesemua ubat topikal, fototerapi atau rawatan sistemik tidak menunjukkan respon yang baik.
Tips Mengawal Psoriasis Anda
Sesetengah pesakit psoriasis berasa kurang selesa dengan keadaan penyakit ini meskipun tiada penawar, psoriasis masih boleh dikawal dengan kepatuhan terhadap penggunaan ubat-ubatan. Pesakit perlu mengenalpasti dan mengelak faktor-faktor yang menerukkan keadaan psoriasis. Berjumpalah ahli dermatologi untuk membantu memilih rawatan yang sesuai untuk mengawal psoriasis anda.
Rujukan
- Annual Report of the Malaysian Psoriasis Registry 2007-2012
- Clinical Practice Guidelines. Management of Psoriasis Vulgaris. June 2013
- Consensus Statement. The Management of Psoriasis. August 1996
- Counseling Module for Psoriasis by MOH Malaysia
- Dermatological Society of Malaysia. Psoriasis Information Booklet
Semakan Akhir | : | 25 November 2015 |
Penulis | : | Siti Nur Sharida bt. Abd. Kadir |
Akreditor | : | Doris George Visuvasam |