Apakah penyakit TB?
Penyakit TB disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria yang bernama ‘Mycobacterium tuberculosis’. Ia juga dikenali sebagai Batuk Kering. Ia disebarkan melalui udara apabila pesakit yang mempunyai kuman yang aktif batuk.
- Paru-paru adalah organ utama yang biasa dijangkiti.
- Batuk kering yang menyerang paru-paru dikenali sebagai (pulmonary tuberculosis) TB Pulmonari.
- Boleh dikatakan, semua organ di dalam badan boleh dijangkiti termasuk otak, tulang, kelenjar limfa, buah pinggang dan kulit.
Satu pertiga dari penduduk diseluruh dunia dijangkiti batuk kering di mana 8.9 hingga 9.9 juta kes dilaporkan dan pada tahun 2008, TB membunuh 5,000 orang setiap hari di seluruh dunia.
Pada tahun 2010, sebanyak 8.8 juta orang dijangkiti TB diseluruh dunia. Di Malaysia seramai 19251 orang dikesan menghidapi TB pada tahun 2011.
Gejala-gejala
Apakah gejala TB?
-
- Batuk berpanjangan selama 2 minggu atau lebih
- Batuk berdarah
- Demam dan berpeluh pada waktu petang atau malam
- Hilang selera makan atau turun berat badan
- Sakit dada semasa batuk atau bernafas secara dalam
- Mudah letih dan lemah
- Serak suara
Apakah perlu saya lakukan sekiranya mempunyai gejala-gejala tersebut?
Sekiranya ada, anda perlu dapatkan pemeriksaan:
- Ujian kahak yang dilakukan di klinik kesihatan atau hospital
- X-ray dada
Pengesahan penyakit dan rawatan batuk kering terdapat di mana-mana klinik kesihatan dan hospital kerajaan.
Komplikasi
Adakah penyakit TB merbahaya?
Sekiranya tidak dikesan pada peringkat awal, ia boleh merebak ke otak, tulang, kelenjar limfa, buah pinggang dan kulit. Ahli keluarga dan orang berdekatan dengan pesakit adalah dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Penyakit TB yang tidak dirawat oleh menyebabkan kematian.
Rawatan
Adakah penyakit TB boleh sembuh dan apa rawatannya?
Ya, ia boleh sembuh. Rawatan batuk kering di Malaysia menggunakan sistem Directly Observed Therapy, short course (DOTS) yang diiktiraf oleh World Health Organization. Ia bermaksud ubat diambil di bawah pengawasan petugas kesihatan dalam tempoh tertentu.
- Rawatan perlu diambil sekurang-kurangnya enam bulan
- Rawatan harian untuk 2 bulan pertama yang mengandungi 4 jenis antibiotik (fasa intensif), diikuti oleh 4 bulan fasa sambungan yang mengandungi 2 jenis antibiotik
- Sekiranya rawatan diikuti sepenuhnya pesakit dapat sembuh
Pencegahan
Bagaimana saya boleh mencegah penyakit TB?
Terdapat beberapa cara pencegahan:
- Suntikan BCG dapat melindungi kanak-kanak daripada TB. Ia diberikan semasa bayi lahir.
- Mendapat rawatan segera sekiranya batuk berpanjangan selama 2 minggu atau lebih.
- Ahli keluarga dan orang berdekatan dengan pesakit dinasihatkan mendapat pemeriksaan lanjut.
- Pastikan rumah anda menerima cahaya matahari secukupnya kerana ia dapat membunuh bakteria di udara.
- Membuka tingkap rumah untuk pengudaraan yang baik
- Amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang.
- Mengamalkan menutup mulut ketika batuk
Kumpulan sokongan
- Sila rujuk klinik kesihatan atau pejabat kesihatan terdekat untuk sebarang pertanyaan
- The Malaysian Association for The Prevention of TB (MAPTB) atau Persatuan TB Tempatan
Laman web untuk maklumat lanjutan :
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Fuad Hashim |
Penyemak | : | Dr. Nor Faizah bt. Ghazali |