A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kebersihan dan Keselamatan Makanan
  6. /
  7. Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009

Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009

Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM 2009) adalah satu peraturan di bawah akta induk iaitu Akta Makanan 1983 (Akta 281). Peraturan ini telah diwartakan pada 2 Februari 2009. Secara amnya PPKM 2009 telah digubal sejak tahun 1983 lagi berdasarkan beberapa garis panduan seperti Kod Amali Kebersihan Makanan 1974, The Codex general Principal of Food Hygiene, Regulation (EC) No. 852/2004 (hygiene of foodstuffs) dan regulation (EC) No. 853/2004 (hygiene rules for food of animal origin).

Latar Belakang

Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM 2009) adalah satu peraturan di bawah akta induk iaitu Akta Makanan 1983 (Akta 281). Peraturan ini telah diwartakan pada 2 Februari 2009. Secara amnya PPKM 2009 telah digubal sejak tahun 1983 lagi berdasarkan beberapa garis panduan seperti Kod Amali Kebersihan Makanan 1974, The Codex general Principal of Food Hygiene, Regulation (EC) No. 852/2004 (hygiene of foodstuffs) dan regulation (EC) No. 853/2004 (hygiene rules for food of animal origin).

Tujuan

Secara umum peraturan ini diwujudkan adalah untuk menyediakan satu prasarana yang boleh mengawal kebersihan premis makanan dan keselamatan makanan di negara ini bagi melindungi kesihatan rakyat.

Manakala secara spesifiknya untuk memastikan premis makanan bersih dan memuaskan dari segi rekabentuk dan bangunan, memastikan pengendali makanan menjaga kebersihan diri dan mengelakkan amalan yang boleh mencemarkan makanan, memastikan perkakas dan peralatan yang digunakan sesuai, bersih dan mudah dicuci, membantu, mengukuh dan menyeragamkan aktiviti penguatkuasaan kebersihan makanan di premis makanan termasuk yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mewajibkan program jaminan keselamatan makanan seperti HACCP, GHP dan GMP.

Pemakaian

Pemakaian PPKM 2009 adalah tertakluk kepada semua premis makanan mengikut tafsiran seperti di bawah Akta Makanan 1983 iaitu;

  • Premis” iaitu bangunan atau khemah atau struktur lain, kekal atau sebaliknya kenderaan, pengangkutan, vessel atau pesawat udara; dan lebuh, tanah lapang, atau tempat peranginan awam atau basikal atau kenderaan yang digunakan untuk penyediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, pengiriman, pengedaran atau penjualan makanan;
  • Premis Makanan” iaitu premis yang digunakan untuk penyediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, pengiriman, pengedaran atau penjualan makanan atau pelabelan semula, pemprosesan atau pembaikan semula makanan.

Kandungan

Bahagian Perkara
Bahagian I Permulaan
Bahagian II Pendaftaran Premis Makanan
Bahagian III Perjalanan dan Pengendalian Premis Makanan
Bahagian IV Pengendali Makanan
Bahagian V Keperluan Khas dalam Pengendalian, Penyediaan, Pembungkusan, Penyajian, Penyimpanan dan Penjualan Makanan Khusus
Bahagian VI Pengangkutan Makanan
Bahagian VII Pelbagai

Bahagian I

Bahagian permulaan menjelaskan berkenaan nama peraturan dan tafsiran-tafsiran penting berkaitan peraturan ini. Di antara beberapa tafsiran penting adalah seperti;

  • Bersih” ertinya suatu keadaan atau apa-apa hal keadaan yang tidak membawa kepada, atau menyebabkan apa-apa pencemaran makanan dengan kotoran atau bahan lain yang tidak menyenangkan seperti sisa makanan, tanah, kotoran atau gris.
  • Pengendali makanan” termasuklah mana-mana orang yang terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan; menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan; dan mengendalikan makanan yang berbungkus atau tidak dibungkus, atau perkakas, dalam mana-mana premis makanan.

Bahagian II

Menerangkan tentang pendaftaran premis makanan yang mengandungi lima (5) peruntukan peraturan yang berkaitan iaitu premis makanan yang hendak didaftarkan, permohonan untuk pendaftaran, perakuan pendaftaran, tempoh sah perakuan dan permohonan untuk pembaharuan perakuan.

Bahagian III

Mengandungi 22 peruntukan berkaitan perjalanan dan pengendalian premis makanan yang terdiri daripada tiga (3) bab iaitu (Bab 1 – kewajipan tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan), (Bab 2 – kehendak am premis makanan), dan (Bab 3 – kehendak khas premis makanan).

Bahagian IV

Bahagian ini berkaitan tanggungjawab pengendali makanan yang dibahagikan kepada dua (2) iaitu (Bab 1 – latihan, pemeriksaan perubatan dan keadaan kesihatan, pakaian dan kebersihan diri pengendali makanan) dan (Bab 2 – perlindungan makanan) serta mengandungi sembilan (9) peruntukan yang menjelaskan perkara tersebut.

Bahagian V

Bahagian ini adalah bahagian terbesar yang mempunyai 18 peraturan menyentuh kepada keperluan khas dalam pengendalian, penyediaan, pembungkusan, penyajian, penyimpanan dan penjualan makanan khusus seperti (Bab 1 – daging), (Bab 2 – ikan), (Bab 3 – aiskrim dan konfeksi sejuk beku), (Bab 4 – susu), (Bab 5 – ais), dan (Bab 6 – mesin jual air).

Bahagian VI

Menerangkan tentang aspek pengangkutan makanan seperti keadaan kebersihan, fungsi, kemudahan pengasingan bahan makanan dan bukan makanan dan pengawalan suhu.

Bahagian VII

Bahagian terakhir iaitu pelbagai yang mengandungi peruntukan berkaitan kesalahan boleh dikompaun, nilai kompaun dan penalti di bawah peraturan ini. Terdapat sebanyak 32 kesalahan yang boleh dikompaun di bawah PPKM 2009, manakala penalti jika disabitkan kesalahan adalah denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun. PPKM 2009 ini juga mengandungi enam (6) jadual utama yang menjelaskan lebih lanjut maksud sesuatu peruntukan peraturan itu sendiri.

Penguatkuasaan Perundangan

Tindakan penguatkuasaan bagi PPKM 2009 dijalankan oleh ‘pegawai diberi kuasa’ seperti peruntukan di bawah seksyen 3(2), Akta Makanan 1983 yang menerangkan bahawa Menteri boleh melantik seberapa ramai pegawai diberi kuasa sebagaimana yang difikirkan perlu bagi maksud akta ini. Tafsiran ‘pegawai diberi kuasa’ ertinya mana-mana pegawai kesihatan perubatan atau mana-mana penolong pegawai kesihatan persekitaran dari Kementerian Kesihatan atau dari mana-mana pihak berkuasa tempatan, atau mana-mana orang berkelayakan yang sesuai, yang dilantik oleh Menteri menjadi seorang pegawai diberi kuasa di bawah seksyen 3. Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan melibatkan aktiviti mengkompaun dan mendakwa kesalahan selepas mendapat keizinan bertulis daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Penguatkuasaan peraturan ini adalah mengikut Standard Operasi Piawaian (SOP) dan garispanduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pemilihan Premis Makanan

Berikut adalah aspek yang perlu diambil berat jika pengguna makan di luar (premis makanan):

Jauh dari jalan raya, tiada binatang berkeliaran, lalat, habuk, lipas dan mempunyai peredaran udara. Lengkap dengan kemudahan asas seperti bekalan air yang bersih dan selamat, elektrik, saliran longkang dan tong sampah yang bertutup.
Peralatan bersih dan sempurna serta meja yang bersih. Pengendali yang bersih memakai apron dan penutup kepala.
Makanan yang telah siap dimasak mesti ditutup. Tempat sempurna untuk menyimpan makanan mentah (belum dimasak).    

Sumber: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan

Rujukan

  1. Akta Makanan 1983 (Akta 281)
  2. Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM 2009)
  3. Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (Bahan Promosi)
Semakan Akhir : 21 Mei 2018
Penulis : Shafizi bin Abdul Wahab
Akreditor : Mohamad Ridzuan bin Mohamad Salleh

Artikel Berkaitan

Sakit Belakang

Sakit belakang dikaitkan dengan rasa sakit dan kurang selesa di bahagian belakang badan, biasanya di bahagian bawah belakang badan.

Senaman Pranatal

Senaman pranatal adalah senaman semasa mengandung. Senaman pranatal sangat digalakkan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,804,500

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia