A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Pemakanan Umum
  6. /
  7. Pelangi Buah dan Sayur

Pelangi Buah dan Sayur

Buah-buahan dan sayur-sayuran terdapat dalam pelbagai warna. Setiap warna mempunyai keunikan tersendiri dalam melindungi penyakit.

Buah-buahan dan sayur-sayuran terdapat dalam pelbagai warna. Ia dibahagikan kepada 5 kategori warna yang berlainan iaitu :

  1. Merah
  2. Ungu/biru
  3. Kuning/jingga
  4. Hijau
  5. Putih/perang.

Setiap warna mempunyai keunikan tersendiri dalam melindungi penyakit. Bahan ini dikenali sebagai fitokimia. Fitokimia inilah yang memberikan warna yang menyerlah pada buah-buahan dan sayur-sayuran

Apakah fungsi fitokimia ?

Selain daripada membekalkan warna yang menarik pada buah dan sayur, fitokimia juga berfungsi sebagai antioksida semula jadi yang berupaya untuk mencegah penyakit tertentu seperti kanser dan penyakit jantung serta meningkatkan sistem pertahanan badan.

Fitokimia yang terdapat di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan adalah seperti :

  • Lycopene
  • Anthocyanins
  • Beta-karotin.

Gambar 1 : Kepelbagaian warna buah-buahan dan sayur-sayuran

Apa Ada Dalam Warna?


Gambar 2 : Contoh buah dan sayur berwarna merah
Merah
Warna merah dalam buah dan sayur terhasil daripada pigmen semula jadi yang dikenali sebagai lycopene.
Lycopene adalah antioksida yang kuat dan terbukti dapat melindungi tubuh daripada :

  • kanser prostat
  • penyakit kardiovaskular / jantung
  • kerosakan sel akibat pendedahan kepada cahaya ultraviolet.

Lycopene terdapat dalam tomato dan tembikai. Penyerapan lycopene lebih sempurna dalam tomato yang dimasak dengan sedikit lemak berbanding tomato mentah.

Kuning/Jingga
Buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna kuning-jingga kaya dengan karotenoid yang dikenali sebagai beta-karotin. Beta-karotin akan ditukar menjadi vitamin A.

Beta-karotin yang terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran yang berwarna kuning-jingga seperti keledek, lobak merah dan labu membantu dalam peningkatan sistem pertahanan tubuh dan kesihatan mata.


Gambar 3 : Contoh buah dan sayur berwarna kuning

Gambar 4 : Contoh buah dan sayur berwarna hijau

Hijau
Warna hijau pada sayur-sayuran diberikan oleh bahan yang dikenali sebagai glukosinolate.

Pengambilan sayur-sayuran hijau yang mengandungi glukosinolate seperti brokoli dan bunga kubis dikaitkan dengan pengurangan risiko sesetengah kanser.

Sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam dan kangkung merupakan sumber asid folik dan zat besi yang diperlukan oleh ibu hamil.

Biru/ungu
Buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna ungu seperti buah naga merah, buah plum, beri biru, terung dan kubis bunga mendapat warnanya daripada komponen fitokimia yang dikenali sebagai anthocyanins.

Anthocyanins adalah antioksida yang melindungi kerosakan sel, mengurangkan risiko kanser, strok dan juga penyakit jantung.


Gambar 5 : Contoh buah dan sayur berwarna biru/ungu

Gambar 6 : Contoh buah dan sayur berwarna putih

Putih/Perang
Idoles adalah komponen fitokimia yang memberikan warna putih/perang pada buah dan sayur.

Sayur dan buah yang berwarna putih/perang juga mengandungi pelbagai fitokimia seperti allicin yang ditemui dalam bawang putih yang memiliki ciri antivirus dan anti bakteria.

Buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna putih seperti pisang dan kentang juga kaya dengan kalium.
Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna putih/perang mampu mengurangkan risiko serangan jantung.

Perlukah Kita Mengambil Suplemen Fitokimia Untuk Mendapatkan Antioksidan?

Jawapannya adalah tidak perlu.

Ini kerana suplemen fitokimia lebih mahal jika dibandingkan dengan memakan buah dan sayur. Selain itu, penyerapan dan tindak balas suplemen fitokimia mungkin kurang berkesan jika dibandingkan dengan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Memakan buah dan sayur segar tidak mungkin menyebabkan seseorang itu mengambil dos fitokimia secara berlebihan berbanding memakan suplemen.

Vitamin VS Suplemen?

Perlukah saya mengambil vitamin atau suplemen?


Gambar 7 : Vitamin atau suplemen ?

Pengambilan suplemen tidak diperlukan jika anda mengamalkan pemakanan yang seimbang dan makan pelbagai jenis makanan berasaskan Piramid Makanan Malaysia.

Memakan buah-buahan dan sayur-sayuran segar adalah lebih baik berbanding suplemen kerana vitamin dan mineral daripada buah dan sayur segar mudah diserap oleh tubuh.

Sebagai contoh, sekiranya anda memakan sebiji buah oren, bukan sahaja anda mendapatkan vitamin C malahan ia juga memberikan khasiat antioksida daripada beta-karotin dan serat yang diperlukan oleh tubuh. Sebaliknya, jika anda mengambil suplemen vitamin C, anda hanya dapat bekalan vtamin C sahaja yang belum pasti kadar penyerapannya adalah lebih baik berbanding buah-buahan segar.

Siapakah Yang Memerlukan Suplemen?

Secara amnya, suplemen tambahan diperlukan oleh mereka yang tidak memperoleh nutrien yang mencukupi  untuk keperluan tubuh seperti :

  1. wanita hamil
  2. warga emas
  3. pengamal diet vegetarian.
  1. Wanita hamil
    Wanita hamil sering mengalami kekurangan zat besi semasa proses kehamilan dan ini menyebabkan mereka perlu diberi suplemen zat besi dan asid folik untuk menjamin kehamilan yang selamat dan sihat. Pengambilan asid folik disarankan sebelum kehamilan lagi untuk membantu mengurangkan risiko bayi mengalami kecacatan pada tulang belakang atau neural tube effect.
  2. Warga emas
    Bagi warga emas pula, mereka yang mempunyai masalah dalam pengunyahan makanan disarankan untuk mengambil suplemen tambahan.
  3. Pengamal diet vegetarian
    Manakala bagi pengamal diet vegetarian pula, sekiranya mereka mengamalkan pengambilan makanan yang terhad, maka suplemen vitamin B12 perlu dipertimbangkan untuk mencegah berlakunya anemia akibat kekurangan zat besi.

Kanak-kanak yang sihat tidak memerlukan suplemen atau vitamin tambahan. Walau bagaimanapun, sekiranya kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan di mana tumbesarannya tidak sepadan dengan umur, maka suplemen disyorkan sebagai salah satu langkah jangka pendek.

Harus di ingat, bahawa pengambilan suplemen secara berlebihan seperti Vitamin A dan E boleh menyebabkan kesan toksik!!! Oleh itu, sila dapatkan nasihat pegawai perubatan atau pakar pemakanan sebelum mengambil sebarang suplemen.

Rujukan

  1. Heber, D., Bowerman, S. (2001). Applying Science to Changing Dietary Patterns. American Institute for Cancer Research 11th Annual Research Conference on Diet, Nutrition & Cancer.
  2. www.nutritionstyle.com
  3. www.livestrong.com
  4. www.nytimes.com
  5. www.nutritionaustralia.org
  6. www.nutriweb.org.my
  7. Gambar 1 : cheryldietitian.com
  8. Gambar 2 : ginniesgems.blogspot.com
  9. Gambar 3 : theorganicbeautyblog.com
  10. Gambar 4 : transformfxfitness.com
  11. Gambar 5 : texaswic.dshs.state.tx.us
  12. Gambar 6 : 2tbfitness.com
  13. Gambar 7 : vegetarianspotlight.com
Semakan Akhir : 28 Februari 2018
Penulis : Syahrizan binti Anggas
Akreditor : Jamilah binti Ahmad

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,804,402

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia