A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Pemulihan Perubatan (Carakerja)
  6. /
  7. Mengurus Sakit Kronik Melalui...

Mengurus Sakit Kronik Melalui Teknik Relaksasi

Teknik pernafasan yang dalam adalah kaedah yang berkesan mengawal kesakitan kerana ia membebaskan ketegangan otot, menenangkan fikiran dan membolehkan otak untuk tidak terlalu memberi tumpuan kepada kesakitan.

Pendahuluan

Sakit adalah sesuatu yang hampir semua orang alami, tetapi masih ramai yang tidak sedar bahawa kira-kira 20 peratus daripada populasi pesakit mengalami apa yang dipanggil kesakitan kronik atau rasa sakit yang berterusan dalam satu-satu masa.

Kenyataan

Rasa sakit atau ke sakitan yang kronik biasanya digambarkan sebagai sakit yang berterusan  untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan. Kebanyakan aduan kesakitan yang kronik merupakan sakit di bahagian belakang yang berpunca daripada artritis atau kecederaan disebabkan kanser. Pada masa ini, kebanyakan kondisi sebegini masih belum menemui penawar berkesan dan berkekalan untuk merawatnya.

Definisi

Fibromyalgia adalah gangguan dicirikan oleh kesakitan pada otot secara meluas disertai oleh keletihan, gangguan tidur, ingatan dan emosi. Penyelidik percaya bahawa fibromyalgia menguatkan rangsangan kesakitan dengan mempengaruhi cara otak memproses isyarat kesakitan. Gejala ini kadang- kala terjadi selepas berlakunya kecederaan fizikal, pembedahan, jangkitan atau tekanan psikologi yang ketara. Golongan wanita adalah lebih cenderung untuk menghidap fibromyalgia berbanding lelaki. Walaupun tiada penawar untuk penyakit fibromyalgia, namun pelbagai ubat-ubatan didapati boleh membantu dalam mengawal gejala yang dialami termasuk teknik Terapi Relaksasi.

Epidemiologi

Fibromyalgia telah menjejaskan kira-kira 2-3% daripada orang dewasa di Amerika dan Eropah. Sama seperti keadaan rheumatologic lain, purata berlaku adalah jauh lebih rendah di China pada kira-kira 0.05%. Golongan wanita lebih berkemungkinan terjejas dengan fibromyalgia berbanding di kalangan lelaki yang masih agak stabil. Menariknya, kajian mendapati purata berlaku di kalangan wanita yang berumur 55 hingga 64 tahun adalah meningkat manakala menurun di kalangan wanita yang berumur 65 tahun dan ke atas.

Gejala / Tanda

Rasa sakit berkaitan dengan fibromyalgia sering digambarkan sebagai sakit berterusan, biasanya berlaku di bahagian otot-otot di kedua-dua bahagian badan atas dan bawah termasuk:

  • pinggang

  • kepala

  • di antara tulang belikat

  • bahu

  • leher

  • dada

  • siku

  • pinggul

  • lutut

Penghidap fibromyalgia sering kali berasa letih walaupun mereka tidur untuk jangka masa yang lama. Tidur mereka kerap terganggu disebabkan oleh kesakitan yang di alami. Ramai di antara mereka mengalami masalah seperti:

  • Keletihan

  • Kebimbangan

  • Kemurungan

  • Endometriosis

  • Sakit kepala

  • Sindrom usus

Komplikasi

Fibromyalgia biasanya tidak membawa kepada keadaan atau penyakit-penyakit lain , tetapi rasa sakit dan kurang tidur yang dikaitkan dengan fibromyalgia boleh mengganggu keupayaan anda untuk berfungsi di rumah atau di tempat kerja. Kekecewaan secara berterusan juga boleh menyebabkan kemurungan dan kebimbangan yang memberi kesan terhadap tahap kesihatan.

Rawatan

Secara umum, rawatan untuk fibromyalgia merangkumi ubat-ubatan, Terapi Relaksasi, senaman dan penjagaan diri. Penekanan adalah kepada mengurangkan gejala dan meningkatkan kesihatan umum.
Ubat-ubatan yang diambil boleh membantu mengurangkan kesakitan fibromyalgia dan meningkatkan kualiti tidur pesakit. Manakala, Terapi Relaksasi menggunakan teknik pernafasan dapat membantu mengurangkan rasa sakit. Selain itu, mendapatkan khidmat kaunselor juga boleh membantu mengukuhkan kepercayaan, kebolehan dan mengajar anda strategi untuk menangani situasi yang tertekan.

Pencegahan

Fibromyalgia tidak boleh dielakkan, dan ia boleh menjadi sukar untuk merawat. Untuk membantu mengurangkan kesan fibromyalgia, anda mungkin mahu :

  • Dapatkan tidur yang cukup. Merawat gangguan tidur disebabkan oleh fibromyalgia boleh membantu meringankan kesakitan dan keletihan.

  • Dapatkan latihan senaman. Walaupun kesakitan dan keletihan boleh membuat aktiviti senaman harian lebih sukar, namun ia adalah penting untuk menjadikan anda seaktif yang mungkin.

  • Membuat perubahan di tempat kerja. Anda boleh menyusun dan menyesuaikan semula ruang kerja anda, supaya dapat mengurangkan masa melakukan sesuatu proses kerja seterusnya menjimatkan tenaga.

  • Makan dengan baik. Bukan sahaja pemakanan yang betul akan memberikan anda lebih banyak tenaga dan membuat anda berasa lebih baik, malah ia juga akan membantu anda mengelakkan masalah kesihatan yang lain.

  • Mengurangkan tekanan. Berhati-hati agar tidak membebankan diri sendiri. Tetapkan matlamat yang munasabah dan luangkan sedikit masa untuk berehat setiap hari.

Rawatan Pemulihan / Rehabilitasi

Teknik Pernafasan Dalam

Teknik pernafasan yang dalam adalah kaedah yang berkesan mengawal kesakitan kerana ia membebaskan ketegangan otot, menenangkan fikiran dan membolehkan otak untuk tidak terlalu memberi tumpuan kepada kesakitan.

Malah, pernafasan secara mendalam adalah salah satu cara terbaik untuk mengurangkan tekanan dalam badan. Ini adalah kerana apabila anda melambatkan dan mengambil nafas yang dalam, satu mesej akan dihantar ke otak untuk berehat. Otak kemudian menghantar mesej kepada badan. Dalam beberapa minit, kedua-dua minda dan badan akan mengalami rasa tenang. Terdapat juga perubahan fizikal yang berlaku iaitu apabila mengambil nafas secara perlahan, tekanan darah dan pernafasan yang pantas akan bertukar menjadi perlahan .

Sememangnya, kesakitan membawa kepada tekanan dan kebimbangan, sekiranya lebih berkesan anda menguruskan kesakitan , maka keadaan yang lebih baik daripada segi fizikal, mental dan emosi akan anda rasai.

Ketika menarik nafas

Duduk atau berdiri secara tegak (menggunakan postur tubuh yang baik) dan tempatkan tangan anda secara selesa pada perut anda. Tarik nafas secara perlahan dan dalam melalui hidung, biarkan perut anda mengembang sebanyak mungkin. Ramai orang yang melakukan kesilapan ketika menarik nafas dengan mengempiskan perut mereka. Dengan meletakkan tangan anda pada perut anda, anda sebenarnya dapat rasakan ketika anda bernafas dengan betul. Apa yang perlu anda lakukan ialah menyedut sebanyak mungkin  udara dan tahan nafas anda selama beberapa saat sebelum menghembuskan nafas.

Ketika menghembus nafas

Dengan tangan berada pada perut anda, hembuskan nafas secara perlahan-lahan melalui mulut anda, dengan mengerucutkan bibir anda seolah-olah bersiul.  Dengan mengerucutkan bibir, ia memudahkan anda mengawal berapa cepat anda mengeluarkan nafas dan membenarkan saluran udara terbuka selama mungkin. Apabila anda mengeluarkan nafas, perut anda mengempis, sedangkan otot besar di bawah paru-paru anda (diafragma) mengembang. Ketika paru-paru anda telah berasa kosong, mulakan kitaran menyedut dan menghembuskan nafas sekali lagi. Cuba ulangi kitaran ini sebanyak tiga atau empat kali pada setiap sesi.

Kebaikan Pernafasan

Teknik pernafasan yang betul boleh meredakan sakit, mengurangkan ketegangan, menenangkan fikiran dan tubuh serta meredakan masalah emosi  anda. Selain itu, ia juga dapat men guatkan otot pernafasan dan sekaligus meningkatkan siatem ketahanan tubuh badan terhadap penyakit.

Rujukan

  1. http://www.mayoclinic.com.my/health/fibromalgia

  2. Nicholas, M., Molloy, A., Tonkin, L., Beeston, L., Manage your pain (2006), Australia:ABC Books

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Sharmila Nor bt Syed Sultan
Penyemak : Tan Foo Lan

 

Artikel Berkaitan

Menjaga Sendi Anda

Kesakitan dan kepenatan pada sendi adalah satu masalah utama yang kerap diluahkan oleh individu yang mengalami sakit sendi.

Kemahiran Pragmatik

Pragmatik merujuk kepada kemahiran bahasa sosial yang kita gunakan dalam interaksi harian kita dengan orang lain.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,804,071

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia