A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Semasa Mengandung
  6. /
  7. Menangani Masalah Mabuk -Kehamilan

Menangani Masalah Mabuk -Kehamilan

Mabuk hamil adalah satu fenomena yang sangat biasa berlaku sekitar 70-80% kehamilan. Secara umumnya, ia adalah ringan dan tidak melarat. Majoriti wanita tidak memerlukan bantuan perubatan dan boleh dirawat dirumah.

Apa yang menyebabkan mabuk semasa kehamilan?

Punca sebenar wanita mabuk semasa hamil atau mengapa sesetengah wanita mempunyai gejala yang teruk masih tidak diketahui. Banyak kajian yang mengaitkannya dengan perubahan hormon yang berlaku diawal kehamilan. Didapati wanita yang muntah-muntah pada awal kehamilan mempunyai paras estrogen yang lebih tinggi.

Wanita yang hamil kembar dua atau tiga biasanya mengalami mabuk yang lebih teruk, begitu juga dengan wanita yang mengalami ‘kehamilan anggur (molar pregnancy)’ iaitu sejenis kehamilan yang tidak normal. Adalah dianjurkan wanita yang mengalami ‘hyperemesis gravidarum’ (gelaran yang diberi kepada wanita yang mengalami mabuk hamil yang sangat teruk), menjalani pemeriksaan ultrasound untuk memastikan tiada kehamilan kembar ataupun kehamilan anggur. Punca lain yang boleh menyebabkan gejala muntah seperti mabuk hamil yang teruk adalah jangkitan saluran kencing, radang usus dan keracunan makanan.

Wanita dinasihatkan untuk berjumpa doktor sekiranya mereka mengalami muntah yang teruk dan tidak berupaya untuk mengambil makanan atau minuman yang mencukupi.

Berapa lamakah ia akan berpanjangan?

Rasa loya dan muntah lazimnya bermula sekitar 6 minggu kehamilan. Kebiasaanya ia berlaku pada waktu pagi, tetapi ianya boleh juga berlaku pada bila-bila masa siang atau malam. Lebih kurang 80% wanita akan berhenti mengalami gejala ini sekitar 12 minggu kehamilan, selebihnya beransur pulih sekitar 16 minggu kehamilan. Walau bagaimanapun ada juga segelintir wanita yang akan mengalami masalah ini sepanjang kehamilannya.

Kesan mabuk hamil keatas kandungan

Wanita yang mengalami loya dan muntah-muntah yang ringan diawal kehamilan tidak perlu risau kerana ianya tidak mendatangkan sebarang kesan buruk kepada diri mereka atau bayi dalam kandungan. Walau bagaimanapun, jika muntah menjadi lebih teruk dan wanita tersebut tidak mengambil makanan atau minuman seperti biasa, seseorang itu perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Wanita yang mengalami mabuk hamil yang teruk boleh mengalami dehidrasi dan memerlukan rawatan cecair melalui saluran vena di hospital. Jika rawatan tidak diberi, ianya boleh mengakibatkan ketosis (keadaan di mana asid di dalam badan anik tinggi) atau ‘metabolic acidosis’ dan ini boleh membahayakan bayi dalam kandungan atau ibu sendiri.

Mengalami mabuk hamil- Kenapa Saya?

Majoriti wanita akan mengalami mabuk hamil semasa awal mengandung. Manakala hanya sebahagian kecil (yang bernasib baik) tidak mengalami masalah ini. Gejala ini mungkin teruk dikalangan sesetengah wanita. Antara faktor yang menyebabkan seseorang ibu itu mengalami mabuk hamil yang teruk termasuk:

  • Mempunyai kandungan kembar
  • Mempunyai sejarah mabuk hamil pada kandungan lalu
  • Mempunyai sejarah keluarga yang mengalami mabuk hamil

Pencetus mabuk semasa hamil

Kadangkala, sesetengah faktor boleh menjadi pencetus kepada mabuk hamil. Diantaranya adalah:

  • Bauan atau wangian seperti minyak wangi, kopi, asap rokok
  • Bauan semasa memasak atau menggoreng
  • Berasa sangat letih
  • Perasaan gelisah atau risau

Tip untuk mengurangkan mabuk semasa hamil

Mabuk pagi boleh dikurangkan dengan mengubah diet seperti berikut:

  • Kerap makan dan minum, tetapi dalam kuantiti yang kecil, lebih kurang 5-6 hidangan kecil sehari. Ini untuk memastikan air dan pemakanan yang mencukupi.
  • Makan semasa bangun tidur biasanya membantu, contohnya apabila bangun dari tidur, makan beberapa keping biskut kraker dan rehat 15 minit sebelum bangun dari tempat tidur.
  • Terus makan sesuatu makanan apabila mengidamkannya (teringinkannya)
  • Elakkan makan makanan berminyak, pedas atau bergoreng
  • Elakkan makan makanan yang boleh menyebabkan anda berasa loya
  • Elakkan minum air dengan banyak semasa makan atau sebaik sahaja sebelum atau selepas makan
  • Minum minuman diantara hidangan untuk mengurangkan muntah
  • Mengambil halia (teh, halwa dan kapsul) terbukti boleh mengurangkan rasa loya dan muntah semasa hamil.

Dapatkan rehat yang secukupnya, udara yang bersih dan sokongan keluarga yang mencukupi.

Vitamin tambahan

Mengambil multivitamin yang mengandungi piridoksin (vitamin B-6) semasa hamil boleh membantu mengurangkan rasa loya dan muntah yang teruk. Dos yang dicadangkan adalah 25-50 mg setiap lapan jam.

Jika anda mendapati vitamin tambahan yang dimakan seperti hematinik (atmbha darah), boleh menambahkan rasa loya, anda boleh memakannya pada waktu malam sebelum tidur. Jika ianya tidak membantu, berbincanglah dengan doktor untuk menukar bentuk vitamin. Vitamin dalam bentuk gel biasanya kurang memberi kesan loya.

Siapakah yang boleh membantu saya berkenaan mabuk hamil ini?

Mempunyai suami dan ahli keluarga yang memahami keadaan ini akan banyak membantu. Walau bagaimanapun, sekiranya gejala ini berkekalan dan susah untuk ditangani, anda harus mendapatkan nasihat dan kaunseling dari klinik yang berdekatan. Anda juga mungkin memerlukan ubat untuk membantu mengurangkan rasa loya dan muntah. Kadang-kadang doktor anda mungkin melakukan ujian darah dan air kencing untuk menilai tahap kesihatan anda.

Bilakah saya perlu mendapatkan rawatan perubatan?

Anda perlu mendapatkan rawatan jika:

  • Anda tidak berupaya untuk makan dan minum melebihi 24 jam
  • Jika gejala-gejala di bawah berlaku bersama muntah-muntah anda
    • Demam
    • Cirit birit
    • Sakit perut
    • Sakit kepala

(sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan muntah perlu diselidiki)

Rujukan

  1. Quinlan,J.D.,& Hill,D.A.(2003). Nausea and vomiting of pregnancy. American Family Physician, 68(1), 121-128
  2. Sheehan, P(2007). Hyperemesis garvidarum: Assessment and management. Australian Family Physician, 36(9), 673-784
  3. American College of Obstetricians and Gynaecologists (ACOG) (2004). Nausea and vomiting of pregnancy. Washington (DC). Author. The American College of Obstetricians and Gynaecologists (ACOG) reaffirmed the currency of the guideline in 2009

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Maimunah Mahmud
Akreditor : Dr. Haris Njoo Suharjono
Penyemak : Dr. Rafaie bin Amin

Artikel Berkaitan

Anemia Semasa Hamil

Bila seorang wanita mengandung, beliau mungkin mengidapi anemia. Dalam keadaan ini, beliau mungkin merasa penat dan anak dalam kandungan mungkin akan jadi kecil dan dilahirkan sebelum waktunya. Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,804,878

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia