A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Mata Kering

Mata kering adalah satu keadaan di mana terdapat kekurangan air mata untuk melembabkan dan menyuburkan mata. Air mata adalah perlu untuk mengekalkan kesihatan mata dan untuk memberi penglihatan yang jelas. Mereka yang mengalami mata kering adalah disebabkan oleh pengeluaran air mata yang kurang ataupun mempunyai air mata yang tidak  berkualiti. Mata kering adalah satu masalah  biasa yang kronik dialami terutamanya di kalangan orang dewasa yang lebih tua. Masalah ini boleh mengakibatkan gangguan pada permukaan mata dan seterusnya menyebabkan gejala yang kurang selesa serta memberi kesan terhadap kualiti hidup.

Dengan setiap kerdipan kelopak mata, air mata akan tersebar ke seluruh permukaan mata yang dikenali sebagai kornea.

Fungsi air mata

  • Membantu dalam memberikan pelinciran pada permukaan mata
  • Mengurangkan risiko jangkitan mata,
  • Mengeluarkan bendasing di mata dan
  • Menjaga permukaan mata agar licin serta rata.

Lebihan air mata akan mengalir ke dalam saluran air mata yang kecil terletak di sudut bahagian dalam kelopak mata dan seterusnya mengalir ke dalam hidung dan tekak.

Mata kering terjadi akibat dari ketidakseimbangan antara penghasilan dan pengaliran air mata keluar dari bahagian mata. Air mata dihasilkan oleh kelenjar air mata (lacrimal gland) dan beberapa kelenjar aksesori yang terdapat di sekitar kelopak mata.

Penghasilan air mata cenderung berkurangan disebabkan:

  • Peningkatan usia,
  • Masalah kesihatan (seperti artritis Rheumatoid),
  • Akibat kesan sampingan ubat-ubatan tertentu, dan
  • Keadaan persekitaran seperti angin dan iklim yang kering juga boleh menjejaskan jumlah air mata dengan peningkatan penyejatan air mata.

Apabila jumlah pengeluaran air mata berkurangan atau menyejat (evaporate) terlalu cepat dari mata, tanda-tanda mata kering boleh dirasai.

Air mata adalah terdiri daripada tiga lapisan:

  1. Lapisan minyak
    – Berfungsi untuk menghalang penyejatan lapisan air
  2. Lapisan air
    – Membentuk sebahagian besar komponen air mata bagi membekalkan oksigen dan nutrisi
  3. Lapisan lendir (mukus)
    – Berfungsi untuk penyebaran air mata yang sekata atas permukaan bola mata

Sekiranya air mata menyejat terlalu cepat atau tidak merebak sekata di atas permukaan bola mata, terutama bahagian kornea disebabkan kekurangan mana-mana lapisan air mata, gejala-gejala mata kering boleh terjadi.


Gambarajah menunjukkan lapisan air mata

Penyebab Mata Kering

  • Umur
    Mata kering adalah sebahagian daripada proses penuaan semula jadi. Majoriti mereka yang berumur 65 ke atas mungkin mengalami beberapa gejala mata kering.
  • Jantina
    Wanita adalah lebih cenderung mengalami mata kering akibat perubahan hormon yang disebabkan oleh kehamilan, penggunaan pil kontraseptif  dan menopaus.
  • Ubat
    Ubat-ubat tertentu, termasuk antihistamin, ‘decongestants’, ubat-ubatan darah tinggi dan antidepresan, boleh mengurangkan jumlah airmata yang dihasilkan.
  • Status kesihatan
    Pesakit yang mengalami artritis reumatoid, kencing manis dan masalah kelenjar Tiroid akan lebih cenderung mempunyai gejala-gejala mata kering.
  • Masalah struktur dengan kelopak mata
    Radang kelopak mata (blepharitis), radang permukaan mata, dan kecacatan kelopak mata (seperti entropion dan ectropion)  boleh menyebabkan terjadinya mata kering.
  • Keadaan persekitaran
    Pendedahan kepada asap, angin dan iklim yang kering boleh meningkatkan penyejatan airmata yang mengakibatkan gejala-gejala mata kering. Kegagalan berkelip secara tetap, seperti apabila merenung skrin komputer untuk tempoh yang lama, juga boleh menyumbang kepada kekeringan mata.
  • Faktor-faktor lain
    Tempoh yang lama bagi penggunaan kanta lekap boleh menjadi faktor penyumbang kepada terjadinya mata kering. Pembedahan mata refraktif, seperti LASIK juga boleh menyebabkan pengeluaran airmata berkurangan dan seterusnya menyebabkan mata kering.

Gejala-gejala mata kering

Apabila airmata tidak mencukupi untuk melincirkan permukaan bola mata, seseorang mungkin mengalami:

  • Mata sakit atau tidak selesa
  • Sensitif terhadap cahaya
  • Terasa berpasir
  • Terasa seperti terdapat bendasing di dalam mata
  • Mata gatal
  • Mata merah
  • Kabur penglihatan
  • Mukus bertali di dalam mata
  • Mata berair

Gambar menunjukkan mata merah disebabkan kering

Rawatan Mata Kering

Walaupun masalah mata kering tidak  boleh disembuhkan sepenuhnya, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil untuk rawatan bagi menugurangkan gejala mata kering. Langkah-langkah yang perlu diambil ialah:

  • Melembabkan mata (penggunaan airmata tiruan dan salap mata)
    Penggunaan airmata tiruan (ubat titis mata) adalah rawatan utama untuk mata kering. Jika anda mempunyai mata kering yang kronik, ia adalah penting untuk menggunakan titisan airmata tiruan dengan lebih kerap walaupun mata anda berasa sihat, untuk memastikan mata anda sentiasa lembab. Jika mata anda kering semasa anda tidur, anda boleh menggunakan pelembab yang lebih kental, seperti salap mata ketika tidur.

contoh ubat titis mata dan salap mata

  • Penutupan punctum (lubang airmata) bersifat sementara.
    Kadang-kala adalah perlu untuk menutup saluran yang mengalirkan air mata keluar dari mata. Ini boleh dilakukan dengan memasukkan “punctal plug” sementara ke dalam saluran air mata yang terletak di kelopak mata bawah untuk menentukan sama ada “plug” kekal boleh membantu dalam merawat mata kering
  • Penutupan punctum (lubang airmata) secara kekal
    Jika penutupan sementara lubang airmata berfungsi dengan baik, maka “plug” kekal atau cautery boleh digunakan. Langkah-langkah ini meningkatkan tahap air mata dengan menyekat “drainpipe” di mana air mata biasanya keluar dari mata dan masuk ke dalam hidung.
  • Lipiflow.
    Lipiflow adalah alat perubatan yang menggunakan haba dan tekanan pada kelopak mata untuk membuka saliran kelenjar yang tersumbat. Kelenjar ini menghasilkan minyak sebagai sebahagian daripada lapisan airmata. Minyak ini menghalang air mata dari penyejatan.
  • Restasis.
    FDA telah meluluskan preskripsi ubat titis mata Restasis untuk rawatan mata kering yang kronik. Restasis adalah satu-satunya ubat titis mata yang membantu mata untuk meningkatkan pengeluaran airmata dengan penggunaan yang berterusan.
  • Ubat-ubatan lain dan Nutrisi.
    Ubat-ubatan lain, termasuk ubat titis mata steroid, boleh digunakan untuk jangka masa yang pendek sebagai tambahan kepada langkah-langkah jangka panjang yang lain. Terdapat bukti yang semakin meningkat bahawa peningkatan pengambilan minyak ikan dan omega-3 melalui diet atau makanan tambahan sangat membantu untuk mereka yang menderita dengan masalah mata kering.

Bolehkah rawatan penjagaan diri membantu mengurangkan mata kering?

Untuk membantu mengurangkan gejala sindrom mata kering, tips penjagaan diri tertentu di rumah mungkin boleh membantu seperti:

  • Humidifier membantu melembabkan udara persekitaran. Dengan lebih kelembapan di dalam udara, kadar penyejatan airmata akan lebih perlahan, dan seterusnya menjadikan mata lebih selesa.
  • Penyaman udara akan mengurangkan kelembapan udara. Pergerakan udara yang berlebihan akan menyebabkan mata kering dengan cepat. Cuba elakkan pergerakan udara yang berlebihan dengan mengurangkan kelajuan kipas siling atau dinding. Jumlah debu atau zarah lain di udara yang banyak, boleh memburukkan lagi gejala mata kering. Dalam keadaan tertentu, penapis udara boleh membantu mengurangkan masalah mata kering.
  • Tuam panas dan scrub/urut kelopak mata menggunakan syampu bayi dapat membantu menjadikan lapisan lipid lebih stabil dan tebal. Ini amat membantu jika seseorang mengalami masalah kelenjar meibomian disfungsi, rosacea, atau blepharitis. Haba dari tuam panas akan memanaskan minyak dalam kelenjar meibomian dan ini memudahkan pengaliran minyak untuk keluar. Proses urutan pula membantu mengeluarkan minyak daripada kelenjar. Seterusnya scrub / pembersihan dapat mengurangkan bilangan bakteria yang memecahkan minyak.
  • Jika mata kering terjadi terutamanya semasa membaca atau menonton TV, anda perlu merehatkan mata dengan menutupkan dan berkedip bagi membolehkan mata menjadi lembap dan selesa. Tutup mata selama 10 saat bagi setiap lima hingga 10 minit akan meningkatkan keselesaan.
  • Mengambil minyak ikan (atau lain-lain sumber yang mengandungi asid lemak omega-3 yang berkualiti tinggi) setiap hari boleh membantu dalam mengurangkan gejala mata kering.

Rujukan

  1. www.medicinenet.com/dry_eyes/article.htm
  2. www.aoa.org/patients-and-public/eye-and-vision…of-eye…/dryeye
  3. www.allaboutvision.com/conditions/dryeye.htm
  4. https://www.nei.nih.gov/health/dryeye/dryeye.asp
  5. www.mayoclinic.org/diseases-conditions/dryeyes/basics/…/con-2002412…

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Rosniza bt. Ab. Razak
Akreditor : Dr. Salmah bt. Othman
Penyemak : Dr. Rosniza bt. Ab. Razak

Artikel Berkaitan

Juling

Juling merupakan ketidakseimbangan otot-otot mata yang menyebabkan sebelah atau kedua-dua

Konjunktivitis

Pengenalan Konjunktivitis adalah radang konjunktiva atau lapisan mukus yang menyelaputi

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,933

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia