A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kekuningan pada Bayi Baru Lahir

Jaundis adalah warna kekuningan yang kelihatan pada kulit yang disebabkan oleh meningkatnya kadar bilirubin dalam darah.

Kekuningan pada Bayi Baru Lahir

Jaundis atau penyakit kekuningan adalah warna kekuningan yang kelihatan pada kulit yang disebabkan oleh meningkatnya kadar bilirubin dalam darah.

 

Apa itu jaundis?

Jaundis atau penyakit kekuningan adalah warna kekuningan yang kelihatan pada kulit yang disebabkan oleh meningkatnya kadar bilirubin dalam darah.

 

Apa itu bilirubin?

Bilirubin adalah sejenis pigmen yang dihasilkan daripada pemecahan sel darah merah. Ia kemudian diproses di dalam hati sebelum dikeluarkan ke dalam najis.

 

Adakah sering terjadi jaundis di kalangan bayi?

Jaundis sering berlaku pada bayi. 50% bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kehidupan.

 

Jenis-jenis jaundis pada bayi dan penyebabnya?

  1. Jaundis fisiologi
    Jaundis fisiologi adalah jenis jaundis sering terjadi kepada bayi dan tidak berbahaya. Jaundis bermula selepas 48 jam dan akan beransur hilang pada akhir minggu pertama kelahiran. Jaundis jenis ini terjadi disebabkan oleh pemecahan sel-sel darah merah dan keadaan organ hati yang belum cukup matang.
  2. Jaundis patologi
    Jaundis patologi berlaku pada hari pertama kelahiran (kurang 24 jam). Sebab-sebab:
    • Ketidak serasian kumpulan darah antara ibu dan anak.
      • Bila ibu mempunyai Rhesus negative atau kumpulan darah ‘O’).
    • Kekurangan enzim G6PD pada bayi. 
      • Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. 
      • Ini berlaku dalam kurang daripada 5% bayi. Semua bayi baru lahir disaring untuk kekurangan G6PD semasa lahir.
    • Jangkitan kuman pada bayi. Bayi biasanya kelihatan lemah dan memerlukan rawatan di hospital.

 

Apakah yang menyebabkan jaundis berpanjangan?

Jaundis dianggap berpanjangan apabila keadaan kekuningan berlanjutan sehingga melebihi 14 hari bagi bayi yang cukup bulan dan 21 hari bagi bayi pramatang. Ianya disebabkan oleh:

  • Susu ibu (breast milk jaundice). Jaundis yang berpanjangan ini tidak berbahaya pada bayi selagi ibu tidak mengambil ubat-ubatan tradisional. Bayi selalunya aktif, berat badan meningkat dan najis berwarna kuning.
  • Penyekatan aliran hempedu daripada hati ke usus yang akhirnya menyebabkan najis yang pucat dan air kencing yang pekat (Biliary Atresia). Bagaimanapun, kes ini jarang terjadi.
  • Kekurangan hormon tiroid (congenital hypothyroidism). Kes ini sangat jarang, satu daripada 4000 kelahiran. Melalui program saringan kebangsaan, semua bayi yang lahir akan dilakukan pemeriksaan saringan menggunakan darah tali pusat.

 

Siapakah yang berisiko mendapat jaundis neonatal teruk?

  • Bayi lahir pramatang
  • Berat bayi rendah
  • Jaundis dalam tempoh 24 jam kelahiran
  • Ibu kumpulan darah ‘O’ atau Rhesus negatif
  • Kekurangan enzim G6PD
  • Cephalhematoma (benjolan darah beku di kulit kepala)
  • Bayi kepada ibu yang menghidap diabetes
  • Sejarah keluarga jaundis teruk dalam adik-beradik

 

Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya bayi saya mengalami jaundis?

Rujuk doktor atau jururawat kesihatan anda untuk penilaian yang sewajarnya. Walau bagaimanapun, bayi anda berkemungkinan sihat dalam situasi berikut:

  • Bayi cukup bulan tanpa faktor risiko kerosakan sel merah yang berlebihan.
  • Jaundis terjadi selepas 48 jam selepas lahir dan tiada peningkatan jaundis yang teruk.
  • Bayi anda sihat dan aktif.

 

Apakah tanda-tanda bahaya yang patut saya perhatikan?

Anda harus dapatkan pemeriksaan doktor segera sekiranya :

  • Jaundis terjadi dalam masa 24 jam selepas dilahirkan.
  • Peningkatan kekuningan yang cepat.
  • Bayi anda mengalami kekurangan enzim G6PD
  • Jika bayi terdahulu dalam keluarga anda mengalami jaundis yang teruk.
  • Bayi anda kelihatan tidak aktif dan tidak mahu menyusu.
  • Najis bayi anda kelihatan pucat atau air kencingnya menjadi pekat.

 

Apakah yang akan dilakukan oleh doktor?

Doktor akan memeriksa bayi anda dan melakukan ujian darah serta memberikan rawatan yang sesuai. Mereka juga akan memberikan nasihat yang berkaitan.

 

Apakah masalah yang akan timbul akibat jaundis teruk?

Kadar indirect bilirubin yang tinggi pada bayi baru lahir boleh mencapai tahap bahaya sehingga menyebabkan:

  • Gangguan pendengaran di mana terjadi kerosakan otak di bahagian kawalan pendengaran.
  • Kerosakan otak yang teruk (kernicterus).

Oleh itu, intervensi awal perlu bagi mengelakkan terjadinya komplikasi yang teruk.

 

Apakah rawatan yang diberikan?

Terdapat 2 jenis rawatan iaitu:

  1. Bayi akan diletakkan di bawah sinaran komponen cahaya biru tertentu sehingga indirect bilirubin akan ditukarkan kepada bahan yang tidak bahaya.


Rawatan foto pada bayi yang mengalami jaundis.

 

Nota: jangan dedahkan bayi anda pada cahaya matahari pagi secara terus-menerus kerana ini membahayakan bayi anda.

Kadar bilirubin yang dianggap bahaya bagi bayi baru lahir adalah melebihi 20 mg/dL (340 umol/L). 

  1. Rawatan pertukaran darah adalah pilihan cara terakhir bagi menghindarkan terjadinya kerosakan otak. Kadar bilirubin untuk rawatan ini bergantung kepada banyak faktor termasuk usia bayi dan penyebab jaundis itu sendiri.
  • Rawatan foto
  • Pertukaran darah

 

Pencegahan jaundis

Adalah penting untuk kita mengesan dan memantau bayi yang berisiko tinggi untuk mendapat jaundis yang teruk.

Tindakan awal mengesan jaundis dapat memastikan rawatan yang sesuai dan mengurangkan komplikasi.

 

Apa lagi yang boleh dilakukan untuk bayi yang mengalami jaundis yang teruk?

Semua bayi dengan kadar bilirubin lebih 20 mg/dL harus mendapat rawatan lanjut di klinik pakar kanak-kanak bagi memantau perkembangan dan pendengaran.

Sekiranya terjadi kerosakan otak akibat jaundis teruk, kanak-kanak tersebut harus dirujuk kepada sekumpulan pakar untuk pemulihan.

 

Apendiks

Senarai makanan, ubat-ubatan yang harus dielakkan oleh penghidap defisiensi G6PD:

  • Makanan : kacang parang
  • Herba cina yang tertentu
  • Ubat-ubatan (rujuk doktor untuk senarai yang lengkap)
    • Antibiotik seperti sulfamethozazol, nalidiixic acid
  • Bahan kimia
    • Ubat gegat (jangan gunakan pada pakaian)

 

Semakan akhir

:

10 Mei 2024

Penulis

:

Dato’ Dr. Jimmy Lee Kok Foo

Penyemak

:

Dr. Nurul’Ain binti Mat Kassim

Artikel Berkaitan

Besar daripada Usia Kandungan (LGA)

Kebiasaan bayi normal mempunyai berat badan dalam lingkungan 3.4 kg hingga 3.5 kg. Bayi besar dari usia kandungan adalah lebih besar daripada bayi normal.

Bayi Pramatang Lewat

Bayi pramatang lewat adalah bayi yang dilahirkan antara tempoh kandungan 34 minggu 0 hari hingga 36 minggu 6 hari.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,803,924

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia