A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kanser Perut

Kanser perut berlaku apabila sel-sel di bahagian dinding perut manusia tumbuh secara tidak normal dan tidak terkawal mengakibatkan berlakunya ketumbuhan di bahagian perut. Kanser perut merupakan kanser ke-dua tertinggi penyebab kematian akibat daripada kanser di seluruh dunia. Di negara kita kanser perut merupakan kanser yang ke-enam paling kerap berlaku pada lelaki dan ke-sepuluh pada wanita.

Kanser perut berlaku apabila sel-sel di bahagian dinding perut manusia tumbuh secara tidak normal dan tidak terkawal mengakibatkan berlakunya ketumbuhan di bahagian perut. Kanser perut merupakan kanser ke-dua tertinggi penyebab kematian  akibat daripada kanser di seluruh dunia. Di negara kita kanser perut merupakan kanser yang ke-enam paling kerap berlaku pada lelaki dan ke-sepuluh pada wanita.

Kanser perut mempunyai insiden yang tinggi di negara Jepun dan ini adalah disebabkan oleh tabiat pemakanan mereka yang gemar memakan makanan yang dijeruk dan disalai. Telah terdapat  penurunan bilangan angka mereka yang menghidapi penyakit ini sejak 60 tahun yang lalu dan ini adalah disebabkan oleh kaedah penyimpanan makanan yang lebih baik dengan menggunakan peti ais dan kurangnya kebergantungan  kepada makanan yang telah dijeruk dan disalai.

Kebanyakan mereka yang menghidap kanser perut ini adalah terdiri daripada golongan yang berumur lebih daripada 65 tahun ke atas dan lebih kerap terjadi di kalangan lelaki berbanding wanita.

Sekiranya kanser ini dikesan pada peringkat awal, peluang untuk pesakit sembuh sepenuhnya adalah tinggi. Malangnya kebanyakan kanser perut ini gagal untuk dikesan pada peringkat awal kerana gejala-gejala awal kurang dirasai oleh pesakit dan diagnosis kerap dibuat pada peringkat lanjut. Kanser perut menjadi sukar dirawat apabila sel-sel kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain.

FAKTOR RISIKO

Risiko untuk seseorang itu menghidap kanser perut adalah seperti:

  1. Jantina
    Lelaki lebih berisiko untuk mendapat kanser perut sebanyak 2 kali ganda daripada wanita.
  2. Usia
    Kebanyakan kanser perut berlaku pada golongan tua di mana terdapat peningkatan insiden yang mendadak selepas usia 60 tahun.
  3. Kaum
    Berdasarkan statistik  daripada Institut Kanser Negara pada tahun 2006,  kebanyakan pesakit kanser perut  adalah di kalangan kaum Cina sebanyak 61.7%, diikuti Melayu sebanyak 25.9% dan kaum India sebanyak 12.4%.
  4. Jangkitan Helicobacter pylori
    >Jangkitan oleh Helicobacter pylori pada dinding perut kerap ditemui di kalangan mereka yang menghidap kanser perut akan tetapi tidak semestinya mereka yang mempunyai jangkitan ini akan menghidap kanser perut.
  5. Rokok
    Tabiat menghisap rokok boleh menyebabkan seseorang itu lebih terdedah kepada risiko untuk mendapat  kanser perut sebanyak 2 kali ganda.
  6. Diet
    Risiko untuk menghidap kanser perut didapati lebih tinggi di kalangan mereka yang kerap mengambil makanan yang disalai, digaramkan dan dijeruk. Tabiat mengambil makanan segar serta sayur-sayuran dan buah-buahan pula dapat menurunkan risiko bagi mendapat kanser perut.
  7. Faktor keluarga
    Mereka yang mempunyai keluarga yang menghidap kanser perut mempunyai risiko yang lebih tinggi terutamanya dikalangan keluarga terdekat seperti ibu, ayah dan adik beradik.

GEJALA

Kanser perut merupakan sejenis kanser yang mengambil masa yang lama untuk terjadi dan kadang kala mengambil masa selama beberapa tahun. Sebelum terjadinya kanser ini pesakit mungkin mengalami beberapa gejala-gejala tertentu, akan tetapi pada kebiasaannya pesakit tidak mempunyai sebarang gejala pada peringkat awal. Kadangkala kanser perut dirawat sebagai penyakit yang lain kerana gejala-gejala yang timbul menyerupai penyakit seperti penyakit peptik ulser.

Disebabkan kesukaran untuk mendiagnosa pesakit ini pada peringkat awal,  kebanyakan pesakit kanser perut kerap kali disahkan menghidap penyakit ini lewat dan di peringkat yang lanjut di mana kanser perut ini telah merebak ke bahagian badan yang lain.

Antara-antara gejala-gejala kanser perut adalah seperti:

  • Ketidakhadaman
  • Sakit perut
  • Kepedihan di hulu hati
  • Loya dan muntah
  • Kesukaran menelan makanan
  • Kembung perut terutamanya selepas makan
  • Najis berwarna hitam
  • Muntah darah
  • Kurang selera makan
  • Kurang berat badan
  • Keletihan
  • Bengkak pada bahagian perut
  • Bengkak pada kalenjar limfa

RAWATAN

Sebelum rawatan dimulakan bagi mereka yang disahkan menghidap kanser perut, doktor terlebih dahulu  akan menentukan peringkat  kanser perut tersebut. Ini ditentukan setelah pesakit menjalani ujian-ujian tertentu seperti  pemeriksaan endoskopik, Imbasan dan juga biopsi. Secara umumnya kaedah rawatan bagi pesaki kanser perut adalah secara pembedahan, radioterapi, dan kemoterapi samada secara berasingan ataupun secara kombinasi.

Jika kanser perut masih di peringkat awal, rawatan  pembedahan secara endoskopik boleh ditawarkan kepada pesakit dan ini dikenali sebagai reseksi mukosa secara endoskopik. Jika kanser perut telah menjadi lebih besar pesakit perlu menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian atau kesemua bahagian perut termasuk bahagian tisu yang berhampiran. Semasa pembedahan juga pakar bedah akan memeriksa nodus limfa di bahagian perut sekiranya sel-sel kanser telah merebak ke bahagian ini. Jika kanser perut telah menjadi terlalu besar rawatan pembedahan mungkin akan dilakukan untuk mengurangkan gejala dan membuatkan pesakit menjadi lebih selesa dan pada peringkat ini rawatan pembedahan bukan lagi bersifat kuratif.

Rawatan secara radioterapi yang mengunakan pancaran sinar radiasi bertenaga tinggi dapat membunuh sel-sel kanser. Rawatan ini boleh digunakan untuk mengecilkan saiz ketumbuhan sebelum pembedahan dilakukan dan ini dikenali sebagai radioterapi neoadjuvan. Radioterapi juga boleh digunakan selepas pembedahan untuk membunuh sel-sel kanser yang masih tertinggal. Rawatan secara radioterapi ini sering digabungkan dengan rawatan kemoterapi.

Rawatan secara kemoterapi pula menggunakan ubat-ubatan yang dapat membunuh sel-sel kanser. Ini boleh dilakukan sebelum pembedahan untuk mengurangkan saiz ketumbuhan agar pembedahan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan juga selepas pembedahan sekiranya sel-sel kanser telah merebak ke  bahagian-bahagian badan yang lain.

RUJUKAN

  1. http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/stomach-cancer/basics/definition/con-20038197
  2. http://www.webmd.com/cancer/stomach-gastric-cancer
  3. Orditura, M., Galizia, G., Sforza, V., Gambardella, V., Fabozzi, A., Laterza, M. M., … & De Vita, F. (2014). Treatment of gastric cancer. World journal of gastroenterology: WJG20(7), 1635.
  4. Jemal, A., Bray, F., Center, M. M., Ferlay, J., Ward, E., & Forman, D. (2011). Global cancer statistics. CA: a cancer journal for clinicians61(2), 69-90.
  5. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda – Petunjuk awal kanser perut
  6. http://emedicine.medscape.com/article/278744-overview

 

Semakan Akhir : 10 Julai 2015
Penulis : Dr. Shamsul Anuar b. Asmee
Akreditor : Dr. Khairul Nizam b. Hassan

 

Artikel Berkaitan

Apa itu kanser?

Barah adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan ketidak seimbangan replikasi

Kanser Ovari

Kanser ovari merupakan kanser yang timbul daripada ovari , iaini

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,804,694

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-21 15:33:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia