A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Omega-3 Laut Dalam

Omega-3 merupakan sejenis kumpulan asid lemak poli tak tepu yang diperlukan oleh tubuh. Ia tidak dapat dihasilkan oleh tubuh kita dan mesti diambil dalam diet harian.

Pengenalan

Umum mengetahui pengambilan lemak yang berlebihan adalah tidak baik untuk kesihatan. Namun begitu, terdapat juga beberapa jenis asid lemak yang baik untuk kesihatan kita.

Definisi

Omega-3 merupakan sejenis kumpulan asid lemak poli tak tepu yang diperlukan oleh tubuh. Ia tidak dapat dihasilkan oleh tubuh kita dan mesti diambil dalam diet harian. Secara amnya, omega-3 banyak memberi kebaikan kepada kesihatan kita seperti mengurangkan risiko penyakit jantung, mencegah kemurungan dan mampu mencegah beberapa jenis kanser.

Terdapat 3 jenis asid lemak omega-3 yang utama iaitu :

  • Alpha-linolenic acid (ALA)
  • Eicosapentanoic acid (EPA)
  • Docosahexanoic acid (DHA).

Sumber Makanan

Secara amnya, omega-3 boleh didapati daripada pelbagai sumber, sama ada daripada sumber haiwan atau tumbuhan. Walau bagaimanapun, omega-3 paling kaya dalam sumber ikan laut dalam seperti :

  • Ikan tuna
  • Ikan parang
  • Ikan sardin
  • Ikan kembung
  • Ikan bilis

Bagaimana Untuk Memenuhi Keperluan Pengambilan Omega-3 Dalam Diet Harian?

Omega-3 memainkan peranan penting dalam fungsi otak, perkembangan dan tumbesaran. Menyedari kepentingan ini, Panduan Diet Malaysia menyarankan kita untuk mengambil satu sajian ikan dalam diet harian. Saranan ini mungkin dapat membantu pengambilan omega-3 yang mencukupi dalam diet harian kita.


Pengambilan 1 sajian ikan setiap hari digalakkan bagi memenuhi keperluan omega-3

Kepentingan

Omega-3 berperanan penting dalam mencegah penyakit kardiovaskular. Ia juga berperanan penting dalam mencegah jangkitan dan mengelakkan pembentukan plak di dalam salur darah.


Omega-3 berperanan penting untuk kesihatan salur darah

  1. Omega-3 dan Kesihatan Jantung

    Penyakit jantung merupakan penyebab utama kematian di kebanyakan negara-negara membangun. Omega-3 dapat mengurangkan risiko berkaitan penyakit jantung seperti mengurangkan tahap kolesterol dalam darah dan tekanan darah tinggi.

  2. Omega-3 dan Tekanan Darah Tinggi

    Masalah tekanan darah tinggi sangat berkait rapat dengan pengambilan garam dan lemak tepu yang berlebihan. Bagi memastikan amalan pemakanan yang lebih sihat, anda bolehlah menggantikan hidangan seperti daging dengan hidangan ikan bagi suatu waktu makan utama. Ini kerana kandungan omega-3 yang tinggi dalam produk ikan dapat menurunkan tekanan darah tinggi.

  3. Omega-3 Menurunkan Tahap Kolesterol Dalam Darah

    Kajian menunjukkan pengambilan omega-3 dapat menurunkan tahap trigliserida dan pada masa yang sama ia juga mampu meningkatkan tahap kolesterol HDL (kolesterol baik) di dalam darah.

  4. Omega-3 dan Kanser

    Omega-3 juga dikaitkan dengan pencegahan beberapa jenis kanser seperti kanser usus, kanser payudara dan kanser prostat.

  5. Omega-3 dan Perkembangan Kognitif Kanak-Kanak

    Omega-3 daripada kelas DHA (Docohexanoic acid) dan EPA (Eicosapentanoic acid) amat penting dalam perkembangan otak kanak-kanak. Ia membantu sel otak untuk berhubung dan seterusnya mempengaruhi fungsi pemikiran dan pembelajaran kanak-kanak.

 

Kebaikan-Kebaikan Lain Omega-3

  • Meningkatkan tahap kesuburan
  • Mencegah masalah berkaitan mental seperti dementia (nyanyuk) dan kemurungan
  • Mencegah kejadian strok (angin ahmar)
  • Mengurangkan risiko diabetes (kencing manis)
  • Mencegah arthritis (sakit pada sendi).

Adakah Pengambilan Suplemen Minyak Ikan Suatu Keperluan? 

Pada zaman ini, terdapat pelbagai produk suplemen omega-3 di pasaran terutamanya dalam bentuk suplemen minyak ikan. Mungkin ramai antara kita yang terpengaruh dengan pengambilan suplemen minyak ikan ini untuk tujuan penjagaan kesihatan. Walau bagaimanapun, pengambilan suplemen ini hanyalah disarankan kepada individu yang mengalami kekurangan pengambilan kumpulan asid lemak penting daripada diet harian.


Suplemen minyak ikan

Rujukan

  1. American Heart Association (AHA). 2002. Circulation. Scientific Statements: Fish consumption, fish oil, omega-3 fatty acids and cardiovascular diseases.
  2. Panduan Diet Malaysia 2010. Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Semakan Akhir : 28 Februari 2018
Penulis : Razali bin Makhtar
Akreditor : Prof. Dr. Norimah bt. A. Karim

Artikel Berkaitan

Diet bagi Pesakit Gout

Diet bagi pesakit gout boleh membantu menyekat pembentukan asid urik dan meningkatkan penyingkirannya. Namun, diet ini tidak dapat menurunkan kepekatan asid urik secukupnya bagi merawat gout. Ubat-ubatan masih diperlukan disamping diet yang betul untuk membantu mengurangkan kekerapan serangan gout dan tahap keterukan penyakit gout.

Pemakanan & Sukan

Apakah kebaikan sukan kepada remaja? Meningkatkan stamina Membantu membina tulang

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,319,015

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia